Pages

14 Jan 2013

Tinta Indah Penguat Jiwa


Bismillahirrahmanirrahim.....
Tercoret tinta ini memadahkan rahsia qalbu. Hati...tidak siapa tahu. Tidak siapa mengerti, disimpan juga tidak membawa makna. Kepada yang Haq ia berbicara. Melagukan bicara yang terkadang sumbang lakunya. Bicara pada manusia juga tidak mengurang resah.

HIDUP
ini adalah suatu perjalanan. Penuh erti, penuh ranjau, penuh duri... Namun bukan sakit tertusuk duri itu yang penting tetapi nikmatnya apabila duri itu tercabut dari daging. Bagaimana ia dikeluarkan juga betapa ianya penting. Sakit, meraung... tetapi jangan berhenti mengeluarkannya. Kelak menjadi bisa yang tidak terawat. Dan setelah itu bersyukurlah dengan segala kehendakNya. Sakit tertusuk duri itu mungkin sahaja penyucian kifarah yang dilakukan. Mungkin juga mehnah dari Yang Esa untuk mendidik hati bertabah serta mensyukuri setiap kejadian tanpa keluhan.

UJIAN
...  Jika ujian di bangku sekolah dapat jua dihafal formula-formula untuk melaluinya. Namun yang bernama ujian hidup adalah yang datang tanpa salam, tanpa diundang. Datangnya dengan kehendak Ilahi yang mahukan manusia memaknakan kehidupan dengan menggunakan akal berbataskan keimanan. Demikianlah didikan Allah. Memanusiakan seorang manusia!

CINTA
... Manusia dihidupkan atas cinta. Cinta itu meluas. Cinta kepada Allah, kepada Rasul, kepada ibu bapa, kepada suami, kepada isteri, kepada sahabat. Malangnya cinta yang pernah dijumpai telah disempitkan dan tersepit oleh kurangnya faqih akan hakikat cinta. Cinta itu setia, jujur, kasih sayang, rindu, doa kebahagiaan. Benihlah cinta yang meniti atas dasar iman. Akan redhalah Allah pada cinta itu. Namun sayang seribu kali sayang, cinta itu tercalar keluhurannya. Terselit pengkhianatan, ketidakjujuran... dan akhirnya perpisahan... Yang meninggalkan mencari pengganti. Segala janji terlupus begitu sahaja. Ingatlah bahawa roda kehidupan ini sentiasa berputar. Hari ini kita mengkhianati. Esok mungkin kita dikhianati. Hari ini kita mencipta luka di hati yang lain, mungkin esok hati kita pula yang terluka.

SABAR
... Bukan mudah untuk memahami erti sabar apatah lagi untuk melakukannya. Saat derita menjengah rasa, seakan kita sahajalah yang derita. Kita sahajalah yang terluka. Duka itu milik kita. Sedih itu juga milik kita, sehingga kita terlupa untuk mensyukuri nikmat Allah yg lainnya. Nikmat Allah yang begitu melimpah ruah jarang disyukuri tetapi bila didatangkan ujian, melaralah sekeping hati. Itu sahaja yang diingat-ingatkan. Demikianlah resam insani.

REDHA... Tidak diuji hambaNya dengan ujian yang tidak mampu ditanggung. Rebah, jatuh dan terduduk, semuanya mengajar kita untuk bangkit kembali. Sedang walangnya hati tertanya bagaimana untuk bangun?? Ya... hanya kekuatan sahaja yang mampu menarik... Maka yang bangun itu bukanlah diri yang lemah. Yang bangun itu adalah jiwa yang kuat. Redha itu adalah menerima dengan lapang dada biarpun tangisan menitis tanpa hentinya namun bertahanlah. Tangisan itu tidak apa-apa malahan menunjukkan kita hanyalah hambaNya yang lemah. Serahkan segala urusan pada Dia.

SYUKUR
... Alhamdulillah segala pujian hanya selayaknya untuk Allah. Hari semalam yang berlalu, biarkanlah. hari ini yang dilalui, nikmatilah. Hari esok bakal tiba, bersedialah. Allah sentiasa memberi yang terbaik untuk hambaNya, maka kita sebagai hambaNya berkejaran lah mencari yang terbaik itu dengan segala usaha dan bermacam cara yang diredhaiNya. "Fastabiqul khairat" pesanNya. Jika berlari itu kemudiannya jatuh maka bangkitlah kembali. Tidak mengapa jika tidak ada tangan yang menghulur bantuan kerana ada 'tangan' yang lebih membahagiakan. Letaklah kebergantungan kepada Allah SWT. Semoga hidup sentiasa diberkati dan dibimbing untuk mencari wangian Jannah.

Semoga beroleh kebahagian dalam mencari warna cinta Ilahi.

13 Des 2012

Tengoklah Bintang itu Andai Rindu...



Keheningan malam kian terasa. Deru angin yang tidak putus-putus bertiup menambahkan lagi kesejukan suasana pada malam hari. Bayangan bulan sudah tidak kelihatan dek liputan awam malam yang menghalang pancaran bulan dari turun ke bumi, begitu juga dengan ketidakhadiran bintang terang pada malam itu seolah –olah mengetahui akan kedatangan hujan .
Hani mendonggak ke arah langit mengharapkan kedatangan bintang muncul walaupun dia tahu itu semua takkan berlaku kerana hujan telah pun mulai turun sedikit demi sedikit. Hani bukannya tidak boleh menunggu tibanya hari esok, tetapi dia bimbang sekiranya hari tersebut tidak sempat dirasainya lagi . Batuknya semakin menjadi-jadi dari sehari ke sehari, kesakitan mula terasa kadang-kadang terasa amat perit dan pedih sekali!!.
Hanya tuhan sahaja yang tahu bertapa seksanya dia menahan kesakitan yang ditanggungnya sehingga menyukarkannya untuk bergerak dan tidak boleh aktif seperti dulu lagi. Dia sedar bahawa Allah sedang mengujinya ,dan kepadaNYA la dia mengadu segala keperitan dan kesakitan yang dialaminya. Dia tahu kesabaran adalah penting dalam menghadapi segala ujian itu.
Jika dulu, dia seorang yang sangat dikenali di sekolah kerana keaktifannya dalam ko-kurikulum sehingga ke peringkat negeri dan setelah tamat sekolah menengah, dia menyambung pula pengajiannya di universiti terkemuka di tanah air. Walaupun dia seorang yang gemar bersukan, namun dia tidak pernah mengabaikan pelajarannya sehingga melayakanya berjaya menjejaki kaki di menara gading.
Begitu juga dari segi penjagaan ibadahnya yang sentiasa dititikberatkan seiring dengan kehidupannya, pesan ibu dan ayahnya tidak pernah dilupai supaya pandai-pandai menjaga diri dan maruah keluarga walaupun dimana sahaja berada. Kini dia sudah tidak seperti dahulu lagi, kesihatannya selalu terganggu dan sering kali berulang alik dari hospital. Mujurlah ada sahabat yang memahami keadaannya ketika itu, disaat dia memerlukan sokongan keluarga tersayang yang tidak ada didepan mata. Aisyah merupakan sahabat sebiliknya yang sentiasa memberi semangat kepadanya supaya sentiasa tabah dan sabar menghadapi semua ini.
Hani masih lagi ingat ketika doktor mengesahkan kanser paru-parunya sudah berada di tahap kritikal dan jika tidak diberi rawatan secepat mungkin, dikhuatiri boleh merebak sehingga membawa kepada kematian. Sukar untuk digambarkan perasaannya pada masa itu, hanya air mata yang berlinangan membasahi pipi.
Dia redha dengan berita yang diterimanya dan merasakan semua yang berlaku mungkin ada hikmahnya. Hanya Allah sahaja yang mengetahui segala kemungkinan ini. Sesungguhnya pengetahuan Allah adalah luas dan tidak terbatas, segala yang berlaku hanya DIA sahaja yang tahu.
Memang pada mulanya Hani menyangka batuk itu adalah batuk biasa, namun dari sehari ke sehari batuknya kian menjadi-jadi sehingga menjadi batuk berdarah. Semenjak dari hari itu, dia sentiasa mendapatkan rawatan susulan di hospital dan doktor menasihatinya agar selalu mengambil ubat serta tidak melakukan sebarang aktiviti yang boleh memenatkan dirinya sehingga boleh menyukarkannya bernafas . Symptom-symptom seperti batuk yang berterusan, sesak nafas, batuk berdarah dan sentiasa lemah dan lesu telah pun dirasainya. Namun begitu, dia tidak pernah mengeluh terhadap ujian yang dilaluinya dan tidak pernah berputus asa.
Sedar-sedar, sudah hampir empat tahun Hani berada di universiti, kini pengajiannya sudah di tahun akhir dan sedikit masa lagi dia akan menamatkan pengajiannya yang hanya tinggal beberapa bulan sahaja lagi. Sepanjang berada di universiti, Hani belajar seperti biasa sepertimana rakan-rakannya yang lain. Walaupun dia tahu akan keadaan kesihatannya yang tidak menentu, namun dia cuba berlagak sihat seakan –akan tidak ada apa-apa yang berlaku .
Kawan-kawannya juga tidak mengetahui akan penyakit yang dihadapinya kecuali teman roomatenya yang juga teman sekelasnya. Hani tidak mahu mereka tahu dan meminta Aisyah agar merahsiakannya daripada pengetahuan mereka. Hari demi hari, peperiksaan semakin menghampiri. Kesihatan Hani mula terganggu, dia sering batuk dan sesekali sukar untuk bernafas. Ubat -ubatnya juga sudah hampir kehabisan, dia sedar bahawa dia perlu mengambil ubat yang baru di hospital dan mendapatkan rawatan susulan yang disarankan oleh doktor.
Disebabkan kesibukan menelaah pelajaran dan membuat persediaan untuk menghadapi peperiksaan tidak lama lagi, dia terlupa untuk berbuat demikian. Dia sedar, kansernya semakin teruk dari hari ke hari, dia berdoa agar diberi kekuatan dan ketabahan dalam melawan penyakitnya sehingga dia dapat menghabiskan peperiksaannya yang terakhir.
Peperiksaan terakhir yang diambil oleh Hani telah pun selesai. Hani memanjatkan rasa kesyukuran kepada Allah kerana masih diberi kesempatan untuk hidup dan terus bernafas hingga ke saat ini. Segala urusan pengajiannya telah pun selesai, hanya Cuma tinggal keputusannya sahaja. Masing-masing bersalaman antara satu sama lain tanda perpisahan. Selepas ini mereka akan membawa haluan masing-masing. Mereka juga berharap akan bertemu lagi pada suatu hari nanti pada hari Konvokesyen.
Tetapi bagi Hani, dia tidak pasti sama ada dia masih ada ataupun tidak pada hari tersebut. Sesungguhnya manusia hanya mampu merancang, namun Allah menentukan segala yang akan berlaku. Hani sedar harapan untuk dia sembuh adalah sukar dijangka. Hani tahu hanyasanya dia tidak punya banyak waktu dan sampaikan bilakah dia mampu bertahan, hanya masa yang menentukan.
*****
Aisyah, sahabat karibnya tidak sampai hati untuk berpisah, mereka telah lama bersama dalam mengharungi suka duka semenjak awal perkenalan di universiti lagi. Tambahan pula mereka adalah rakan sebilik dan lebih memahami antara satu sama lain. Aisyah kelihatan sedih kerana sebentar sahaja lagi keluarga Hani akan tiba untuk membawanya pulang ke kampung halaman. Segala barang-barang telah pun siap dipacking dan diletakkan di dalam kotak . Aisyah pula masih lagi sibuk mengemaskan apa-apa yang patut. Sementara menunggu keluarga Hani tiba, mereka berbual-bual. Hani sempat mengerling ke arah kotak-kotak buku miliknya dan memastikan agar tiada barang yang tertinggal.
"Apa yang kau tengokkan tu? Alah... jangan risaulah tak larinya barang kau tu". Aisyah menyindir, setelah melihat kelakuan Hani yang sentiasa mengerling pada kotak barangnya sambil mengira bilangan kotak tersebut.
"Takde lah, sekadar nak memastikan semuanya ada supaya tidak ada yang tertinggal nanti. Bukannya dekat nak patah balik." Balas Hani sambil tersenyum.
Sambil itu, dia menuju ke arah beg sandangnya dan mengeluarkan sesuatu.
"Nah!, aku hadiahkan untuk kau". Hani menghulurkan sesuatu.
"Eh, apa ni Hani, birthday aku lambat lagi la". Pintas Aisyah sambil tangannya membuka bungkusan hadiah tersebut.
"Waaa..., cantiknya!". Hani hanya tersenyum melihat gelagat sahabatnya itu.
"Terima kasih Hani, Sayang kau Ketat-ketat..hi..hi". Tambah Aisyah lagi.
"Ye la tu...". Balas Hani sambil memuncungkan bibirnya..  
Aisyah tergelak dengan memek muka Hani sebentar tadi  lantas memeluk sahabatnya itu erat-erat tanda terima kasih atas hadiah yang diterimanya.
"Dah..dah..dah.. lemas pulak aku ni kan kau peluk lama-lama." Sindir Hani sambil ketawa.
Aisyah hanya mencebik mendengar Hani menyindirnya. Dia senyum.
"Nanti kalau kau teringat kat aku, kau tengoklah bintang-bintang kecil kat dalam botol tu." Suara Hani seakan  mendatar. 
"InsyaAllah, aku akan sentiasa ingat kau sampai bila-bila. Oh ye, boleh tak aku nak minta tolong sampaikan salam aku pada kawan-kawan kalau jumpa diorang pada konvokesyen nanti?". Pinta Hani penuh harap
Aisyah kehairanan. " Eh! Kau tak datang ke nanti? Tak bestlah macam ni...". Sambil menunjukkan mimik muka yang tidak puas hati.
"Aku tak janji la. Kalau tiada aral melintang, InsyaAllah aku datang ." Balas Hani.
"Okay!. Janji..?" Aisyah inginkan kepastian daripada Hani, dan Hani hanya mengangguk sekadar mengiyakan walaupun dia dapat merasakan pertemuan semula di hari konvokesyen itu tidak akan kesampaian. Namun, di sudut hatinya dia sangat mengharapkan semoga Allah memanjangkan umurnya sehingga tiba hari bersejarah itu. 
*****
Hari yang ditunggu-tunggu oleh semua pelajar telah pun tiba. Keputusan peperiksaan sudah dikeluarkan. kebanyakkan pelajar memperolehi keputusan cemerlang dan masing-masing sangat berpuas hati akan usaha yang mereka selama ini. Begitu juga Aisyah, dia sangat gembira dan bersyukur dengan keputusan peperiksaannya. Usahanya tidak sia-sia.
Setibanya hari konvokesyen, semua graduan hadir bagi menerima ijazah masing-masing. Ada yang datang bersama keluarga, kawan-kawan dan bagi mereka yang tinggal jauh, mereka datang seawal sebelum hari kejadian dan menyewa mana-mana hotel sebagai tempat penginapan mereka. Ada juga keluarga yang tidak dapat hadir dan hanya ditemani rakan-rakan dan saudara terdekat yang tinggal berdekatan dengan universiti tersebut.
Aisyah melihat-lihat ke arah orang ramai yang berasak-asak untuk masuk memenuhi ruang dewan. Matanya tercari-cari pada satu wajah. Wajah yang tersimpan rindu. Ternyata hampa, Wajah Hani tidak juga muncul.  Setelah puas menunggu, Aisyah beransur masuk ke dewan. Kedengaran satu demi satu nama pelajar dari pelbagai falkulti diumumkan untuk sesi penyerahan ijazah, begitu juga Aisyah.
"Ummu Hani Binti Haris" Suara dari pentas bergema di dalam dewan itu.  
Aisyah segera berpaling ke atas pentas. Ingin sekali dia melihat dan bertemu dengan sahabat karibnya itu.Tetapi hampa, kerana ianya bukan Hani, penyerahan ijazahnya diambil oleh ayahnya En.haris sebagai wakil. Aisyah semakin hairan dengan ketidakhadiran sahabatnya itu. 
"Empat tahun ditunggu-tunggu, tak mungkin Hani tak datang di hari bersejarah ni?" Bisik Aisyah. 
" atau Hani.......Tak, tak.. Tak mungkin" Aisyah terus mematikan fikiran negatifnya. Dia terus mendoakan semoga Allah sentiasa memelihara dan memberi kebaikan kepada sahabat karibnya itu.
Setelah upacara penyerahan sijil itu berakhir, Aisyah bertemu dengan keluarga Hani dan bertanyakan akan sahabatnya itu. Setelah diceritakan, tahulah dia bahawa sahabatnya itu telah pergi buat selama-lamanya disebabkan penyakit yang dihadapinya. Rupa-rupanya itulah hari terakhir mereka berjumpa dan masih lagi dia teringat akan pesanan sahabatnya supaya menyampaikan salam kepada rakan-rakan yang lain.
Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman. Kini setiap kali Aisyah teringat akan sahabatnya itu, dia tidak lupa untuk sedekahkan Al –Fatihah. Kadang-kadang bila terasa rindu, dia akan melihat bintang-bintang kecil dari pemberian Hani dulu. Masih lagi terngiang-ngiang kata-kata Hani sebelum berangkat pulang.
"Nanti kalau kau teringat kat aku,kau tengoklah bintang-bintang kecil kat dalam botol tu." Sehingga ke hari ini Aisyah masih lagi mengingati sahabatnya itu, walaupun peristiwa itu telah lama berlalu.

 

Mungkinkah Dia ImamKU...???

Entah kenapa hatiku gelisah, berdebar kencang dari pagi tadi. Adakah kerana pembentangan hari ini? Mr West mahu aku ikut serta dalam RGM (Mesyuarat Bulanan General Manager) kali ini. Katanya agar aku pun turut mendapat kredit atas usaha keras kami selama ini.  Projek dua tahun ini mendapat perhatian CEO. Usai dhuha, aku menarik nafas panjang. Ku panjatkan doa pada Ilahi agar tenang hati ini. 

Bilik Mesyuarat Pluto
"Macam mana Umar?", tanya Pengurus Operasi kami. Mataku alihkan kepada lelaki itu. Terpaku aku. Subhanallah. Sosok tubuhnya benar-benar mirip dengan bayang lelaki yang kulihat dalam istikharahku kelmarin.
 Pandangan mata kami bertemu. Senyum. Serentak itu, hatiku tenang, bagai semilir angin yang lalu. Allah Allah.
 "Mungkinkah dia imamku?" Bisik hatiku penuh debar.

7 hari.

"Diba, awak tolong jumpa Umar. Dapatkan pandangan dia tentang paten komunikasi pekerja indonesia di sini."
"Erkk.. " Aku terkedu. Ya Allah, dekatkanlah dia padaku jika benar dia jodohku. Pada usia 32 tahun ini, hanya tawakal penguat semangatku. Aku yakin, pada ketika dan orang yang tepat, Allah pasti akan menjawab doaku.
Umar Budiharto. Itulah namanya. Baru ku tahu, dia itu berasal dari Bekasi, Indonesia. Cuma aku masih tak pasti apakah status dirinya. Selama ini tekadku, tak mungkin aku menjadi pemusnah kebahagiaan wanita lain.

Mengenalinya, aku rasa bagaikan sudah kenal lama. Tak sukar untuk mencari keserasian antara kami. Dia seperti aku, gilakan fotografi dan seni. Kami sering outing bersama teman-teman Kelab Fotografi. Dia buat aku selesa ,kerana solat tetap di jaga. Pesanannya selalu, mulakan walau sekecil apa pun kerja dengan Bismillah. Masakan tidak, tiga tahun di pesantren telah membentuk dirinya. Malah, sama seperti aku, dia juga memasang hajat membawa bonda dan ayahanda tercinta menunaikan manasik Haji.

Betapa sempurnanya lelaki ini di mataku. Hingga kini, soalan yang satu itu cuba kumatikan dalam benakku. Aku takut dengan jawapannya. Setelah rasa cinta ini membuak di dada, adakah mampu aku bertahan andai dia terhempas begitu sahaja. 

7 minggu

Telahanku benar. Sudah lima tahun dia berkahwin, tapi masih belum dikurniakan cahaya mata. Namun tak pernah sekali pun dia mengatakan yang buruk tentang Kak Ayu, isterinya. Betapa bertuahnya kau kak. Oleh kerana tiada pelepasan majikan, Kak Ayu masih di Bekasi. Terpempan aku saat dia menyuarakan hasrat untuk mempertemukan aku dengan KakAyu. Adakah tega aku bertentang mata dengannya. Wanita yang bakal ku rampas separuh dari jiwanya. Pujukan Umar meyakinkan aku untuk bertemu. Ku salam dan ku cium tangan wanita itu. Dia tersenyum . Rupanya banyak yang telah Umar ceritakan tentang aku. Selepas berbasa basi, kak Ayu memulakan bicara.

"Akak rela berkongsi kasih. Mungkin ini cara Allah memberi rahmatNya.'
Sunyi. 

Haruskah aku gembira. Aku tak pasti. Antara prinsip dengan cinta dalam hati. Lama diam itu pengisi sunyi. Masing-masing dalam fikiran sendiri. Ku renung lembut wajah kak Ayu. Tulus wajahnya , setulus hatinya. Hujan di hatiku makin sarat. Dan entah dari mana datangnya kekuatan itu.
"Maafkan saya kak. Saya tidak pasti yang saya mampu ikhlas berkongsi kasih dengan akak. Apa mungkin memang Umar dijadikan sebagai pembela wanita, yang mampu menyebarkan cintanya buat kita berdua, itupun saya tak pasti. Berilah saya peluang untuk mencari ketenangan hati dan kekuatan diri. Mungkin ada baiknya kita tangguhkan dulu soal ini. Andai memang ini suratanNya."
Kaki terus ku bawa lari keluar dari KLCC. Empang air mata yang kutahan dari tadi, pecah akhirnya .
"Ya Allah. Aku tidak tahu , ya Allah... Tiada satu pun rahsia Mu dalam pengetahuanku. "
Makkah, 17 Ramadhan 1433H
Selesai sudah tawaf sunat ku. Aku menghela nafas. Alhamdulillah. Masih sudi Kau menerima aku sebagai tetamu Mu. Aku kembali pada Mu ya Allah. Ampunkan aku kerna selalu mencari cinta lain selain Engkau. Malunya aku. Kutundukkan wajahku , lalu bersujud. Aku redha atas segala ketentuanmu. Terimalah taubatku. Air mataku bercucuran. Hanya pada Tuhan Kaabah ini aku meratap. Biarlah kukhabarkan cintaku hanya padaNya.

"Assalamualaikum Diba". Ku seka airmataku. Saat ku angkat wajahku, ku lihat dia. Ya, dialah lelaki itu. Dialah imamku. Terima kasih Allah.

17 Nov 2012

Tolong Jaga Dia Ya ALLAH



Hubungan antara dua jiwa
Yang berlainan jantina
Perlu ada batasnya
Perlu ada jaraknya
Perlu ada hadnya
Perlu ada pengawasnya
Melainkan sudah disatukan dalam ikatan yang teramat mulia
Dalam lafaz sakinah
Yakni dengan akad nikah.

Jika akad belum mengikat diri
Bentengilah hati
Kawallah hati
Pandulah pergaulan
Kekalkanlah jarak
Minimumkanlah urusan
Tegaskanlah peribadi

Kuatkan hati dan lisan untuk berkata 'TIDAK'
Pada perkara yang sia-sia
Pada perkara yang remeh-temeh
Pada perkara yang boleh melalaikan hati
Pada perkara yang boleh menggugah iman.

Namun, bagaimana jika sudah terlanjur mesra?
Bagaimana jika sudah terlanjur bergerak mengenali?
Bagaimana jka sudah terlanjur biasa bergurau senda?
Bagaimana jika sudah terlalu kerap berhubungan atas urusan yang tidak penting?

Usah khuatir!
Usah bimbang!
Usah risau!

Ingatlah, Allah itu Maha Pengampun
Lagi Maha Luas Pengampunannya
Serta Maha pengasih
Lagi Maha penyayang

Maka
Ayuh, mari kita mulakan dari awal!
Ayuh kita kawal hati
Ayuh kita dalami hakikat dikurniakan hati oleh Sang Pencipta
Ayuh kita dekati para solehin
Ayuh kita dampingi bacaan-bacaan motivasi penguat diri
Ayuh kita lazimi Al-Qur'an dan hayati terjemahannya
Ayuh kita dekati Sang Khaliq!

Agar langkah yang baru ini terasa lebih kuat
Agar dapat istiqomah melakukannya
Agar kelak mardhotillah dapat dicapai.

*****
Ya Allah,
Diri ini melutut, memohon dengan penuh kerendahan hati, ampuni dan terimalah taubat ini, permudahkanlah jalannya, kuat dan tegarkanlah hati serta tekad ini.
Aku berserah pada-Mu ya Allah, sesungguhnya telah kusedari semua ini dulu ya Allah, namun ternyata kekuatanku belum cukup untuk bertindak, maka kini setelah aku makin sedar dan punya sedikit kekuatan, tidak ingin lagi aku tangguhkan ya Allah, tidak sanggup lagi aku lewat-lewatkan.

Ya Allah,
Bantulah aku untuk melangkah, seandainya dia benar milikku yang telah Engkau tetapkan di Luh Mahfuz, seandainya juga dia baik untuk agamaku, kehidupanku, dan kesudahan urusanku samada cepat atau lambat, takdirkanlah dia untukku, permudahkanlah serta berkatilah dia untukku, tolong jagakan dia ya Allah..
Namun, jika sebaliknya ya Allah.. Engkau redhailah hatiku, Engkau jauhkanlah aku daripadanya dan jauhkanlah dia daripadaku, Engkau buangkanlah jua segala rasa yang mungkin timbul ini ya Allah.
Aamiin ya Rabb..


Saat Kamu Disisiku



Saat kamu disisiku
Di setiap saat kamu mendampingiku
Di setiap ketika aku dalam pelukan mu
Untuk detik-detik terindah aku bersama kamu
Pegangan yang tak pernah lari dari aku
Aku rasa tenang dan selamat dalam panduanmu

Terlalu selamat untuk terus bersama kamu
Terus selamat untuk menjadi penjaga hatiku
Terlalu selamat untuk menjadi pemilik hak aku
Terlalu selamat untuk jantung ini berkongsi denyutan dengan kamu
Terlalu selamat untuk aku dekat denganmu
Terima Kasih dari aku untuk itu

Di setiap saat aku jatuh
Di tiap ketika aku lumpuh
Di setiap detik aku tidak mampu menempuh
Hidup yang berliku lebih dari yang aku mampu
Aku yakin ada kamu

Aku yakin ada kamu untuk membangkitkan aku
Aku yakin ada kamu untuk menjadi nadi aku
Aku yakin ada kamu yang setia bersama aku
Aku yakin ada kamu yang tak kan hilang dalam duniaku

Untuk setiap cinta aku bersama kamu
Untuk setiap rindu ku luahkan padamu
Kau kekasihku
Hidup dan matiku

Aku yakin andai hari terakhirku bertamu
Aku masih ada kamu
Untuk mendoakan hari hari ku
Hingga ke syurga idaman aku
Syurga idaman semua makhluk yang Satu

Terima kasih kerana selalu ada bersama aku
Pada setiap saat dan waktu
Engkaulah kekasihku
Engkaulah penguatku
Engkaulah nadi ku
Engkaulah jantung ku
Al-Quran Nur Karim kalimah wahyu
Kalam Allah Tuhanku


TERIMA KASIH HATI



Dengar ya wahai hati
Aku tahu rasa sakit ini
Sukar untuk diungkap dengan kata-kata
Malah, rasa sakit itu jugak tidak boleh diungkap
Dengan contengan di atas lembaran kertas sahaja
Dan lebih teruk lagi apabila hati itu
Sudah diminta untuk berhenti berfungsi
Parah

Duhai hati yang rawan
Aku tahu apa pun yang cuba ku lakukan
Sekali kata-kata orang terkesan dihati
Kau akan selama-lamanya berbekas
Bukan tidak pernah aku cuba kikis
Tetapi memang itu cara hidupmu
Mudah memaafkan perlakuan orang
Tetapi sukar melupakan.

Dengar ya wahai hati
Aku tahu
Andai saja hati itu boleh di'scan' dengan mata kasar
Kau lah anggota yang sarat dengan duka
Berbanding anggota-anggota yang lain
Penuh dengan torehan, luka dan parut
Namun ku tetap yakin
Engkau terlaku kuat dan tabah..

Wahai hati
Aku bersyukur kerana punya hati sepertimu
Itu kerana kau tidak pernah berhenti berfungsi sekali pun
Kau tetap terus bergerak walau hanya dengan bertatih
Itulah engkau HATI
Setiap kali disakiti, ditikam, dicucuk, disagat, dan disayat
Kau tetap terus berfungi untukku
Hanya untuk aku

Hati...
Bagaimana caranya agar ku bisa merawatmui?
Guna plaster kah?
Guna Gunting kah?
Atau Guna iodine kah?
Jika guna plaster,  luka besar boleh diplasterkah?
Jahit guna benang, takut akan meninggalkan parut
Jika guna iodine, nantinya kuning hati itu
Tidak cantik seperti orang lain yang merah

Alhamdulillah hati...
Allah ajarkan padaku
Agar sentiasa redha selalu
Allah beri perhatian padamu dengan diuji
Wahai hati...
Percayalah, walau dirimu penuh luka
Tapi cukup engkau tidak bersangka-sangka
Pada Tuhan yang menciptakan mu
Juga yang menciptkanku
Sungguh benar hati...
Ujian itu wasilah untuk kita
Agar sentiasa ingat pada yang Esa...

Anas berkata, Rasulullah bersabda:
"Bahwa besarnya sesuatu balasan itu menurut besarnya sesuatu bencana ujian; dan bahawa Allah apabila mengasihi sesuatu kaum diuji mereka; kemudian sesiapa yang menerima ujian itu dengan redha, maka dia akan beroleh keredhaan Allah, dan sesiapa yang bersikap keluh kesah serta benci menerima ujian itu, maka dia akan mendapat kemurkaan dari Allah."
(Hadis riwayat at-Tarmizi dan Ibn Majah)

5 Nov 2012

APALAH DAYA HATI


Faris Haikal duduk termenung sendirian. Masih segar ilmu yang ada di dalam kotak ingatannya. Matanya memandang sebaris buku-bukunya yang tersusun rapi di atas rak. Sungguh banyak buku-buku tokoh dan pahlawan Islam yang termasyhur. Tiada mereka, tidak majulah Islam seperti sekarang. Tanpa mereka dan semangat yang ditonjolkan dalam diri Rasulullah saw, tidaklah Islam akan tersebar sebegini rupa.
'Subhanallah.... Aku dapat rasakan merekalah nadi-nadi Islam yang sebenar.... 'Faris Haikal bermonolog sendirian.
Fikirannya kembali teringat perihal petang semalam. Calon isteri hendaklah dipilih dan dipandang dari segenap penjuru. Rupa paras itu adalah pilihan yang terakhir. Apa yang penting, ilmunya, kebijaksanaannya, kekuatannya dalam memegang syari'at Islam itu yang penting. Adakah ciri-ciri itu sudah cukup sempurna?
Rasulullah saw pernah bersabda, maksudnya:
"Dikahwini wanita itu kerana empat perkara: hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Maka pilihlah dari kalangan mereka yang beragama nescaya kamu akan selamat."
Baginya sangat susah untuk mencari wanita yang betul-betul beragama. Agama dalam konteks yang disebut oleh baginda saw itu, bukanlah hanya agama pada nama sahaja. Tetapi, agama itu meluas. Ia bermaksud berpegang teguh pada ajaran dan syari'at Islam. Dari segi fikrahnya, dari segi dia berpakaian, penutupan aurat yang sempurna, pergaulannya, ilmunya, amalnya dengan ilmu tersebut dan lain-lain lagi.
Beramal dengan ilmu juga perlu kerana ilmu tanpa amal itu ibarat pokok yang tidak berbuah .
Imam al-Ghazali juga pernah berkata,
"Ilmu tanpa amal itu gila, amal tanpa ilmu itu pula sia-sia"
Faris Haikal mengelamun jauh. Hatinya sekarang ibarat kosong dan rasa tidak ingin bernikah selepas Delisha Iman bertunang. Tapi, apakan daya... Nikah itu merupakan sunnah terbesar baginda saw.

Rasulullah pernah bersabda,
"Barangsiapa yang tidak suka akan sunnahku, dia bukanlah dari kalanganku.."
Allah juga telah berfirman dalam kitab-Nya yang bermaksud;
"Maha suci Allah yang menjadikan kejadian semua berpasangan dari sesuatu yang tumbuh di bumi, dari mereka (manusia) dan dari sesuatu yang mereka tiada mengetahui."
'Allahu Robbi... Berilah aku kekuatan untuk mencintai bakal isteriku...' Faris Haikal bermonolog lagi.
Teringat ketika masih berkawan dengan Delisha Iman sewaktu di sekolah MTI dahulu. Delisha Iman seorang perempuan yang rajin membaca. Di mana sahaja dia berjalan, pasti buku ada di tangannya. Buku-buku yang dibaca itu pula merupakan buku ilmiah yang sangat bermutiara isi kandungannya. Masih segar kenangan itu ketika sedang menunggu mesyuarat exco-exco dakwah. Mata Faris Haikal terpandang pada serangkap tajuk buku yang sedang dibaca Delisha Iman.
'Sultan Muhammad Al-Fateh penakluk Konstantinopel' menjadi perbualan mereka berdua ketika itu.
"Rajin anti baca buku... Tajuk buku tu best. Ana pun suka baca buku-buku macamtu. Semalam baru lepas habis baca buku 'Khalid Memburu Syahid'." Faris Haikal tersenyum nipis.
Memang dia sudah lama tertawan hati terhadap Delisha Iman. Cuma itulah pertama kali dia dapat memberanikan diri untuk memulakan perbualannya yang selama ini dia pendam sahaja di hati. Topik buku-buku ilmiah itulah yang menjadi permulaan hubungannya dengan Delisha Iman.
"Yep! Sangat best. Seorang pemuda yang masih remaja dah boleh jadi sultan, lepastu bijak dan sangat alim sehingga berjaya membuat strategi sendiri untuk menawan kota Konstantinopel. Solat sunat tahajjud tak pernah tinggal... Sangat hebat...! Kagum ana dengan beliau..." Delisha Iman kembali menala matanya ke buku itu. Dia memang suka berkongsi ilmunya kepada orang lain, tambah-tambah orang seperti Faris Haikal yang kebetulan mempunyai minat yang sama dengannya.
Faris Haikal tersenyum keseorangan. Kenangannya dengan Delisha Iman dahulu tidak pernah dia lupakan walaupun sedetik. Delisha Iman adalah satu-satunya perempuan yang berjaya bertamu di hatinya setelah diteliti peribadi dan kerajinan gadis itu dalam menuntut ilmu. Ramai yang tertawan hati pada Faris Haikal tetapi keunikan Delisha Iman penyebab dia tidak perasan perempuan lain dalam hidupnya. Ilmu, bijak, rajin, unik, sempoi... Itulah yang menjadi daya penarik Faris Haikal terhadap Delisha Iman. Faris Haikal tertawa kecil sambil tersenyum meleret.
Mata Faris Haikal mula melihat jarum jam di dinding. Pukul 5.15am pagi. Lama fikirannya mengelamun jauh selepas menunaikan solat istikharah dan tahajjud tadi. Niat hati untuk istikharah jodoh disebabkan Masyitah melamarnya petang tadi. Tetapi bayangan Delisha Iman pula yang datang menerjah ke dalam minda. Aduh, dia sudah jadi tunang orang. Aku tidak boleh fikir tentangnya lagi. Getus hatinya....