Pages

21 Okt 2012

Seikhlas murni

Sepuluh tahun lalu ketika Murni berusia 12 tahun, dia dimasukkan ke sebuah asrama anak yatim. Itulah permulaan hidup Murni di satu tempat yang asing. Tanpa ibu dan adik beradik di sisinya Murni jalani hidup di asrama itu. Namun itu adalah pilihan Murni. Mungkin kerana terlalu ingin mengecapi rasa dan pengalaman tinggal di asrama dan kerana itu, ibu Murni bersetuju membenarkan Murni tinggal di situ.
Pada hari pendaftaran, Murni mengenali ramai kawan- kawan baru. Si kembar Norlida dan Norliza, Halimaton, Shuhada, Liyana. Murni gembira. Sekurang kurangnya dia tidak akan kesunyian nanti. Kelihatan Pengerusi asrama anak yatim tersebut asyik memberi ucapan kepada para waris anak-anak yatim yang hadir. Murni tidak mengambil pusing akan ucapan itu. Matanya asyik melihat kenderaan yang lalu lalang di jalanan. Hatinya gembira sungguh tidak terkata. Inilah pengalaman pertama Murni tinggal di bandar. Di mindanya membayangkan kegembiraan yang bakal dikecapinya ketika tinggal di situ.
Ibunya khusyuk mendengar taklimat. Wajah ibu kelihatan tenang. Mungkin ibu tidak bersedih akan perpisahan yang bakal berlaku antara mereka, duga Murni. Murni berlagak ramah dengan kawan-kawan barunya. Namun kebanyakan mereka berwajah sugul, ketara benar dengan dirinya. Di dalam hati Murni mengejek-gejek mereka.
"Ah..kenapa cengeng sangat." Herdiknya di dalam hati
Murni tidak pula bersedih begitu. Tegar benar hatinya. Baginya dia akan bebas berada di asrama tanpa kawalan ibu. Tiada siapa lagi akan memarahinya kelak jika dia pulang ke rumah pada waktu maghrib. Hakikatnya, Murni tidak tahu bahawa keseluruhan rutin hidupnya bakal berubah seratus peratus apabila dia tinggal di asrama. Murni juga terpaksa berdikari tanpa bantuan ibu di sisi. Murni terlalu mentah untuk memahami itu semua.
Murni diperkenalkan dengan ustaz yang bakal mendidiknya dan rakan- rakan di situ. Ustaz Saifullah namanya. Sudah berusia 39 tahun. Itu anggaran si mentah Murni. Mempunyai anak anak yang ramai, empat putera dan seorang puteri. Isterinya digelar makcik oleh kakak - kakak dan abang - abang senior di situ.
Hari menjelang petang, para waris mula melangkah pulang. Tersedu sedan Murni menangis tatkala melihat ibunya melangkah pergi. Ternyata Murni bukan setegar mana. Meskipun Murni cuba untuk tidak menangis sedih namun air mata tumpah jua. Tidak banyak yang ibu pesan, namun kata azimat untuk belajar rajin-rajin ibu titipkan kepada Murni. Pesan ibunya dijadikan kekuatannya untuknya mengharungi hari hari di asrama itu. Di sana Murni di ajarkan ilmu agama. Murni tidak pernah bersekolah agama seperti rakan-rakan sebaya. Oleh yang demikian pengetahuan agama Murni sangat dangkal. Pelajaran agama bermula dengan bacaan Al Quran.
Di hadapan Ustaz Saifullah, Murni mendengarkan bacaan Al Qurannya namun bacaan Murni terlalu banyak kesalahan tajwid. Antara rela dan terpaksa Murni mesti mengulangi pelajaran buku Iqra'. Dia perlu bermula daripada Iqra' Empat. Malunya Murni.. selama hari ini, dia sangat lancar membaca Al Quran di hadapan guru Al Qurannya di kampung malah sudah beberapa kali dia khatam Al Quran. Apabila Ustaz Saifullah berkata "Tajwid kamu tak betul, ulang semula buku Iqra". Murni bingung dan tertanya- tanya dimanakah silapnya namun diturutkan sahaja kata-kata Ustaz. Siapalah dia untuk melawan gurunya.
Pelajaran tajwid diajarkan oleh Ustaz pada setiap hari Khamis. Selebihnya Murni banyak mendapat tunjuk ajar kakak-kakak senior di dalam usaha membaiki bacaan tajwidnya. Murni tidak pernah tahu tentang tajwid. Di sana juga Murni belajar Tauhid, Akhlak, Hadis dan Feqah. Melihatkan seorang seniornya membaca Al Quran beserta tarannum membuatkan Murni bercita-cita untuk menjadi seorang Qariah namun dia tahu, banyak yang perlu dibetulkan sebelum menjadi seorang Qariah.
Bacaan tajwidnya masih lintang pukang, manakan mungkin dia mampu menjadi seorang Qariah. Ketika mengajar, Ustaz Saifulllah sangat tegas. Murni sentiasa mengantuk ketika berada di kelas kuliah agama. Hari itu, hampir sahaja dia di baling dek duster whiteboard oleh Ustaz. Rakan- rakan Murni hanya mampu menggelengkan kepala melihat tingkah laku Murni. Seringkali ditegur namun begitu juga Murni. Tiada perubahan.
Saban hari Murni mengantuk. Itu belum lagi dikira keadaannya di sekolah. Kerap kali Murni mengantuk ketika pelajaran Inggeris dan Matematik berlangsung namun guru-gurunya sudah penat menegur Murni namun masih juga begitu kelakuan Murni. Sungguh, Murni sangat mengantuk. Rutin harian bermula seawal 5 pagi setiap hari. Mereka diwajibkan ke surau awal untuk menunaikan solat-solat sunat seperti Hajat, Tahajjud dan Taubat. Pernah Murni bertanya kepada Ustaz mengapakah solat-solat tersebut perlu dilakukan setiap hari. Bukankah itu adalah sunat sahaja. Jawab Ustaz bersahaja, kerana hari-hari kita lakukan dosa dan hari-hari kita mempunyai permintaan kepada Allah SWT.
Murni terdiam dan perlahan-lahan dia akui. Benar apa yang Ustaz Saifullah katakan. Walaupun secara logiknya, kanak-kanak berusia 12 tahun tidak melakukan banyak dosa dan sesetengahnya masih belum akil baligh namun memohon keampunan daripada Allah SWT mesti dilakukan setiap hari kerana setiap saat nadi yang berdenyut tidak akan pasti bila ia akan terhenti.
Tahun kedua di asrama, Murni sudah tidak betah untuk tinggal di sana. Disuarakan hal itu kepada ibu, namun ibu berkeras mahukan Murni untuk terus tinggal di situ. Tidak..Murni tidak mahu lagi tinggal di situ. Alangkah sedihnya hati Murni, ibunya menolak mentah- mentah permintaannya. Bukan ibu tidak kasihankan Murni, namun pada ibu, dia senang melihat anak gadisnya telah banyak berubah, menjadi lebih baik daripada sebelumnya. Senangnya hati ibu melihat anak gadisnya berpakaian menutup aurat. Begitu tekun dan tawaduk mengerjakan ibadah wajib dan sunat. Sedikit sebanyak ibu juga merasa malu dengan dirinya sendiri. Anakku menutupi seluruh auratnya namun aku tidak begitu. Sejak itu, ibu mula berhijrah dan mengenakan tudung labuh. Alhamdulillah, Murni mengucapkan syukur di atas hidayah yang ibu perolehi.
Setiap kali Murni pulang ke kampung, dia pasti akan menjadi imam solat untuk adiknya. Jika Murni meninggalkan asrama itu, ibu khuatir Murni akan kembali seperti dulu. Ibu sangat risau jika Murni tidak mahu lagi mengimami solat, meninggalkan solat-solat sunat, dan tidak mahu membaca Al Quran. Atas sebab itulah ibu mahu Murni tinggal di asrama itu sehingga usianya 15 tahun, iaitu umur maksimum untuk seseorang anak yatim untuk layak tinggal di situ. Apabila mencecah umur 16 tahun, seseorang itu bukan lagi digelar anak yatim. Itu apa yang ibu fahami. Mungkin atas sebab itulah, umur maksimum untuk Murni dan rakan-rakan tinggal di situ hanya sehingga 15 tahun.
*****
Hari itu,  Murni tekad untuk lari dari asrama iaitu pada hari sepatutnya Murni ke sekolah. Langkahnya laju berlari menuju ke stesen bas. Berbekalkan wang pemberian ibunya ketika datang melawat bulan sebelumnya, Murni membeli tiket bas untuk pulang ke daerah kelahirannya. Mujurlah Murni sudah mahir dan tahu bas mana yang perlu dia naiki untuk tiba di rumah.
Sebelum tiba di rumah, Murni terlebih dahulu menelefon kakaknya. Pada kakaknya, Murni ceritakan apa yang berlaku. Alangkah terkejutnya kakak Murni mendengarkan hal itu. Murni sudah tidak peduli lagi walaupun kakaknya mengancam bahawa pasti ibu akan marahkan Murni. Dia tahu, ibu pasti akan memarahinya. Biarlah..yang pasti, dia tidak mahu tinggal di asrama itu lagi. Hatinya sudah banyak kali terasa dengan tingkah laku kawan-kawannya. Mereka tidak memahami perasaan Murni. Murni sedih..tambahan lagi, dia baru sahaja melangkah masuk ke tingkatan satu.
Sekolah menengah baru Murni terdiri daripada rakan pelbagai bangsa. Murni tidak menyukai sekolah itu. Dia juga benci kepada rakan-rakan barunya. Baginya, mereka budak bandar yang sangat berbeza pendapat daripadanya, seorang anak desa. Murni mahu meninggalkan semua. Hati Murni rindu pada suasana desa, pada rakan-rakan di kampungnya. Terbayang-bayang wajah sahabat baiknya, Faty dan Fiz. Pasti mereka gembira jika Murni berpindah ke sekolah yang sama dengan mereka.
Seperti yang Murni jangkakan. Setibanya di rumah, ibu memarahi Murni. Murni terdiam dan hanya mampu meneleku ke lantai. Ohh..ibu tidak senang dengan kepulanganku, bisik hati Murni. Murni hanya anak gadis mentah yang tidak memahami hati seorang ibu. Sudah tentu ibu bimbangkan Murni. Namun ibu tidak mahu memeluk dan mendakap Murni. Risau sekiranya Murni menganggap tindakannya untuk lari daripada asrama adalah betul. Rawan hati ibu melihat perlakuan anak gadisnya. Sangkanya, Murni tidak akan berani melakukan perkara sebegitu. Ibu tidak mahu berterusan memaksa Murni. Biarlah Murni bersekolah di sini. Ibu tidak mahu Murni mengulangi perkara yang sama andainya Murni dipaksa kembali ke asrama.
Semenjak dari itu, ibu tidak banyak bercakap dengan Murni. Sedih hati Murni bukan kepalang lagi. Saban hari dia menangis namun usahkan memujuk, bertanyakan Murni juga tidak dilakukan ibu. Berat benar salah Murni sehinggakan ibu tidak mahu memperdulikannya. Memang..itu salah Murni. Namun ibu..tidakkah engkau mahu bertanya mengapakah aku melakukan itu.
Murni dimasukkan ke sekolah menengah harian biasa. Pada mulanya Murni berhasrat untuk memasuki sekolah menengah agama namun dek kerana masalah pengangkutan ke sana, Murni terpaksa memadamkan hasrat hatinya. Di sana, tiada lagi kongkongan daripada Ustaz Saifullah. Tiada siapa untuk memarahi Murni jika dia memakai tudung dan baju- t berlengan pendek. Sungguh, Murni berasa sangat aman. Kerisauan ibu menjadi nyata. Murni tidak lagi seperti dahulu. Dia mula berubah. Solat-solat sunat ditinggalkan sama sekali. Al Quran hanya sesekali dibaca. Dia juga tidak mahu lagi menjadi imam solat untuk adiknya. Hadis dan doa -doa yang dihafalnya semakin pudar dari ingatan. Namun ibu tetap memaksa Murni untuk pergi mempelajari Al Quran dan tajwid dengan guru Al Quran di kampungnya. Sebagai motivasi kepada Murni, ibu turut mempelajari tajwid bersama-sama Murni. Ibu tidak mahu Murni leka. Kerap kali dipaksa membuatkan Murni rimas. Akhirnya, dituruti jua kata-kata ibunya.
Murni kini tidak lagi memakai pakaian yang menutup aurat. Tudung yang dipakai diselempang menampakkan dada. Baju dan seluar juga ketat. Solat pula ditunaikan di akhir-akhir waktu. Teman lelaki bersilih ganti..kata-kata ibu pula semakin selesa dibangkang. Hidupnya seperti di dalam kegelapan. Hari- hari dilalui berkiblatkan maksiat, jauh dari redha Allah SWT.
Duhai anak..jangan begini..mengapakah ketara benar perubahanmu..saban waktu ibu berdoa
" Ya Allah, kembalikan kepadaku anakku yang solehah"
Saban hari, bulan dan tahun Murni lalui. Kini, Murni telah berjaya memasuki sebuah institusi pengajian tinggi awam. Ibunya bangga dengan kejayaan Murni. Sama bangganya perasaan ibu apabila Murni menunjukkan keputusan peperiksaan SPMnya kepada ibu. Murni, seorang anak yang pintar. Keputusan peperiksaan yang cemerlang melayakkan Murni untuk ke universiti itu.
*****
Sepuluh tahun telah berlalu semenjak Murni meninggalkan asrama itu. Sepanjang tempoh itu jua, Murni berada di dalam dunia rekaannya. Kurang memperdulikan ajaran agama. Baginya, segalanya masih seperti biasa. Solat tetap ditunaikan, puasa juga dilakukan. Tiada lagi yang kurang. Sementelah aku masih muda. Ahh..lambat lagi akan mati. Ilmu agama tidak diperbaharui dan dipelajari lagi. Ini aku tahu, itu juga aku tahu. Untuk apa aku pelajari lagi ujar Murni dengan sombongnya.
Murni tidak menyedari bahawa jika seluruh lautan dijadikan dakwat untuk menulis ilmu Allah, tidak akan cukup dan jika Allah datangkan tambahan sebanyak itu juga, ilmu Allah tidak akan pernah habis ditulis. Atas sebab itulah, Rasulullah SAW bersabda " tuntutlah ilmu hingga ke liang lahat". Ustaz Saifullah juga pernah berpesan kepada Murni, belajarlah sehingga menemui kebodohan. Namun Murni tidak mengambil kisah akan itu. Rancangan agama tidak dirasakan perlu untuk ditontoni. Lagu- lagu pop dan balada dijadikan halwa telinga sepanjang masa, jauh sekali untuk mendengarkan zikir, selawat dan nasyid.
Namun saban hari waktu berlalu, ada perasaan insaf bertamu di hati Murni.. Entah mana datangnya dan sejak bila ia bermula, Murni kurang pasti. Seringkali, ketika dirinya lalai dan leka melakukan dosa..tidak semena-mena kilat memancar terang,guruh berdentuman kuat.
"Ah..kebetulan sahaja..hari mahu hujan barangkali", getus hati kecil Murni.
Kali ini dentuman guruh benar-benar kuat. Kilat memancar seakan-akan mahu menyambar dirinya. Tika itu, hati Murni berdetik. Alangkah malangnya diriku andai aku mati ketika ini. Kiranya Ustaz Saifullah di sini.. pasti dia akan turut malu kerana begini kelakuan anak didiknya kerana membiarkan diri leka dengan maksiat seolah-olah tidak pernah menerima didikan agama. Pasti dialah yang perlu menjawab ke hadrat Allah Azza wa Jalla kerana gagal membentuk Murni menjadi seorang yang solehah.
"Apa akan jadi dengan ibuku,keluargaku. Apa akan aku jawab pada Allah Azza wa Jalla di Padang Masyar kelak. Alangkah malunya.. daging-daging mukaku akan jatuh berguguran kerana terlalu malu. Apa akan aku katakan pada Rasulullah SAW. Pasti baginda akan bertanya, tidakkah sampai ajaranku kepadamu Murni? Di mana akan ku letakkan wajahku. Pasti..neraka menunggu-nungguku..para malaikat tidak akan sabar memukul cemeti ke badanku dan merejamku di dalam neraka." Gumam hati kecilnya
"Alangkah ngerinya Ya Allah. Astagfirullah hal azim..Astaghfirullah hal azim..Ya Allah, ku zalimi diriku sendiri. Sebak bukan kepalang hati Murni. Ya Allah, inikah petunjukMu?"
Murni membulatkan tekad. Baju-baju singkat dilipat kemas. Dia perlu membeli pakaian baru yang menutup auratnya. Murni tidak kisah andai wang pinjaman pelajarannya terpaksa dibelanjakan untuk membeli pakaian yang menutup aurat. Tudung-tudung juga diganti baru. Yang jarang dan pendek disimpan rapi. Dia tekad..dia tidak mahu lagi mengenakan pakaian yang tidak menutup aurat. Beg pakaian itu dizip kemas. Tidak akan mungkin dipakai lagi ketika berpergian.
Perubahan yang bakal dilakukan tidak dikhabarkan kepada ibu dan rakan-rakan. Murni bimbang jika perasaan riyak merajai hati. Setiap kedai pakaian Muslimah yang dikunjunginya menjual pakaian dan hijab pada harga yang mahal. Murni mengetap bibir dan marah sendiri. Bagaimana aku mahu menutup aurat kalau semahal ini harga yang perlu ku bayar?
Astaghfirullah hal azim..Murni cepat- cepat beristighfar. Risau hati tidak ikhlas.
Sekali lagi Murni bulatkan tekad. Sebenar-benar tekad! Tidak mengapa jika dia perlu membayar harga yang mahal. Ini semua kerana Mu Ya Allah.
"Aku ikhlas untuk menutup auratku keranaMu. Tidak seberapa harga yang perlu ku bayar jika dibandingkan dengan harga seksaan yang perlu ku bayar di neraka kelak." Bisik hati kecilnya.
Murni kembali ke kedai itu. Murni melangkah masuk dan membelek-belek kembali hijab yang telah dilihatnya tadi.
"Tidak mengapa jika aku harus membayar mahal, semua keranaMu Ya Allah. Aku ikhlas.. " Murni menetapkan hati.
Harga tidak akan menjadi masalah untuknya. Sememangnya lumrah, pakaian yang menutup aurat lebih mahal jika dibandingkan dengan pakaian yang tidak menutup aurat. Senjata musuh Allah untuk melemahkan umat Islam barangkali.
"Kak, berapa harga tudung ni?" soal Murni.
Padahal Murni telah bertanyakan sebelum ini. Harganya RM45 tetap, tidak boleh ditawar-tawarkan lagi. Kecewa sungguh Murni.
" Tudung tu ke adik, oh.. RM20 je..", balas kakak salegirl selamba.
"Subhanallah..Allah hu Akbar..  Terima kasih Ya Allah kerana memudahkan urusanku." Hampir menitis air mata Murni. Ada riak gembira terpamer diwajahnya. Murni menguntum senyum.
Benarlah, jika kita berbuat sesuatu Lillahi Taala maka segalanya menjadi mudah. Harga tudung menjadi murah adalah satu contoh yang sangat kecil dan mudah.
*****
Kini,urusan pakaian yang menutup aurat bukan masalah lagi baginya walaupun sebelum ini Murni khuatir wang pinjaman pelajaran akan banyak dibelanjakan untuk pakaian baru. Sebaliknya terjadi, Murni tidak pernah merasa kekurangan wang. Murni sangat bersyukur. Benar, rezeki adalah urusan Allah SWT. Sebelum ini, Murni hanya mendengar tanpa memahami. Sekarang, Murni mengerti.
Murni tersenyum bahagia.. Ustaz Saifullah, terima kasih. Ilmu yang diajarkanmu membawa cahaya kepadaku. Walaupun telah kehilangan jalanku selama sepuluh tahun namun rencana Allah dan berkat ilmumu..aku kembali menemui fitrahku. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atasmu.
Ibu, insan yang cukup khuatir sekali akan perubahan Murni semenjak meninggalkan asrama itu seringkali mengingatkannya " Tutup auratmu nak". Sekarang ibu, kau mampu untuk tersenyum kerana Murni sepuluh tahun lalu telah kembali. Insyallah, doakan Murni ibu. Kali ini istiqamahku sehingga Malaikat Izrail menjemput nyawaku.
I was so far from you
Yet to me you were always so close
I wandered lost in the dark
I closed my eyes toward the signs
You put in my way
I walked everyday
Further and further away from you
Ooooo Allah, you brought me home
I thank You with every breath I take.
Alhamdulillah, Alhamdulillah
Murni tersenyum mendengarkan lagu  kegemarannya "Thank You Allah". Sedikit sebanyak Murni akui, gelombang nasyid si penyanyi turut membawa kesedaran kepadanya.
"Ya Allah, terima kasih di atas rahmat dan belas kasihMu kepadaku. Ku pohon kepadaMu semoga hidayah ini berkekalan denganku sehingga nafasku yang terakhir. Hidupku dan matiku untukMu Ya Rabb."

Hidup mewangi

Tika itu, cuti semester universiti bermula, sebelum semester akhir menjelma. Saya seperti biasa sudah semestinya pulang ke rumah. Pulang menjenguk ibu. Rasa belas saya buat ibu tak pernah surut.
Sudah lama saya tidak dibiaya sepenuhnya oleh ibu untuk belajar lantaran mendapat biasiswa daripada kerajaan sempena keputusan cemerlang SPM lima tahun lalu. Namun, kasih sayangnya masih laju berlarian dalam darah saya, tak pernah berhenti. Tapi, saya masih punya dua lagi adik untuk diberi makan dan minum.
Ibu sejak ayah tiada, terus faham akan dwitugasnya pada waktu itu, menjadi ibu dan bapa pada masa yang sama. Di bawah pohon ketapang di hadapan sekolah rendah berdekatan dengan rumah, ibu setiap pagi menjual nasi lemak dan tiga empat jenis cucur. Ibu kata, dalam hidup ni, kita tak boleh harapkan bantuan orang sahaja. Mesti ada usaha sendiri juga, biarlah sepahit mana pun. Sebab kita tak tahu masa hadapan kita.
Pagi itu pagi biasa. Ibu buka payung niaga, lalu kami berniaga bersama-sama. Saya hanya benarkan ibu membuka payung dan meja sahaja, tapi urusan niaga lain saya cuba ambil alih. Sejak pukul dua lagi, ibu mengejutkan saya. Paginya dimulakan dengan dua rakaat solat tahajjud dan sedikit iringan zikir di atas sejadah. Ibu kata, biar sedikit tapi istiqamah, itu lebih Nabi kita suka. Seterusnya, dia mula sibuk dengan adegan membuat nasi lemak dan kuih hingga subuh.
Kerusi biru itu saya biarkan ibu duduk, saya berdiri di belakang meja untuk melayan pelanggan. Ibu seperti biasa, hanya tersenyum. Kadangkala bersembang juga dengan pelanggan-pelanggan tetapnya. Sudah lama dia buat kerja ini, tak pernah pula kami dengar rungutannya. Ibu memang cool lah!
Nasi lemak tinggal tiga bungkus, cucur pun dah tak banyak. Alhamdulillah, hari ni nampak gayanya boleh balik awal sikit ke rumah. Begitulah resam sang peniaga, untung belum tentu. Ada rezeki, insya-Allah banyaklah untung.
Belum sempat sembang sepatah dua bersama ibu, datang sebuah motor Kapcai EX5 depan gerai kami. Seorang pemuda yang simple orangnya, berbaju t-shirt polo, berkain pelikat. Dia bukan sahaja borong semuanya, dia juga tika itu telah memborong jiwa raga saya tanpa saya sedari.

Hari ini, saya masih menggabus mata. Benarkah semua ini? Sudah hampir sebulan saya menjadi isteri orang. Di hujung usia pengajian, saya bina masjid dihujungnya.
Paling hebat, rupanya saya sudah berkahwin dengan seorang jutawan soleh. Hingga jadi isterinya, baru tahu dia seorang jutawan. Warak betul.
Pernah satu ketika, saya tanya kepadanya.
" Abang tak menyesal ke kahwin dengan saya yang miskin?"
Dia pantas tersenyum, dengan janggut sejemput cute.
" Insya-Allah, abang tak pernah menyesal. Sebab doa abang untuk jodoh abang ialah moga Allah kurniakan abang seorang isteri yang cintakan Allah dan Rasulullah melebihi diri abang. Itu sahaja. Dan hari ini abang yakin, awaklah pilihan istimewa Allah buat abang."
Ayat dia mudah, tapi menyusuk kalbu saya. Semenjak itu, hati saya jadi lebih berbunga-bunga untuk mencintai Allah Subhanallah Ta'ala dan Rasulullahi sallalahu 'alaihi wa sallam.
Berbunga dan terus berbunga. Mekar mewangi sepanjang hidup, insya-Allah.

Awan yang menangis

Hujan lebat turun membasahi bumi. Sehingga kini, masih lagi tidak menunjukkan tanda-tanda untuk berhenti. Sudah lama juga hujan tidak turun selebat itu. Mana tidaknya, sebelum ni cuaca sangat panas.
Kakak baru sahaja usai menunaikan solat Zohor. Sebelum solat, dia ada berjanji dengan Adik, untuk membancuh air Milo sejuk pada asalnya. Tapi dalam keadaan hujan lebat yang sejuk ini, rasanya kalau bancuh air Milo panas lagi umphh.
Selepas makan tengahari, Adik terus duduk berteleku di tepi tingkap memerhatikan titis-titis hujan yang turun. Di pangkuannya, Boboi si kucing kesayangan Adik sudah terlena. Mungkin selesa dek kehangatan belaian Adik, nak pula tengah sejuk sekarang ini.
"Adik, nak air Milo tak? Kakak bancuh yang panas ye. Sejuk sekarang ni."
"Kakak, tak apalah. Adik tak nak minum air Milo. Adik nak Kakak duduk sebelah Adik, boleh?" pinta Adik sambil menepuk lantai untuk duduk di sebelahnya. Pasti ada sesuatu yang Adik nak tanya ni, hati Kakak berbisik.
Kakak duduk melunjurkan kaki, kemudian mengambil Boboi dari pangkuan Adik dibawa ke pangkuannya. Terdengar bebelan kecil Boboi, mungkin kerana tidurnya yang lena diganggu. Tak lama lepas tu, Boboi tertidur semula.
"Kakak, dah lama kan hujan tak turun?"
"Yep. Alhamdulillah. Allah turunkan juga hujan. Rasa segar sikit dapat bau hujan. Hehe."
"Ha'a Kak. Tengok tu. Katak tu lompat-lompat kat laman rumah. Mesti dia suka hujan turun. Boleh main hujan."
Oh, itulah rupanya yang Adik ralit sangat duduk di tepi tingkap ini. Ralit tengok katak rupanya.
"Kakak, Adik pernah dengar, kalau hujan turun, maksudnya awan tengah menangis ye Kak?"
Kakak tersenyum mendengar soalan Adik. Alhamdulillah, dia dikurniakan seorang Adik yang sangat cerdas. Sudah menjadi kebiasaan, kalau ada apa-apa sahaja yang bermain di mindanya, Adik akan terus bertanya, walaupun ada masanya soalan yang diajukan itu, kedengaran tidak logik juga.
"Oh, awan tu menangis, sebab kena pikul beban air yang sangat berat. Apabila dah tak terlarat nak pikul, awan pun mencurahkan semua air itu turun ke bumi. Nak pula bumi pun masa tu, sangat-sangat memerlukan air hujan untuk menyegarkan balik semua yang layu kerana berpanas."
Adik sudah mula memusingkan badannya menghadap Kakak. Petanda ingin mendengar lagi penjelasan dengan lebih mendalam.
"Kalau ikut proses alam, mula-mula awan akan sedut air dekat sungai sikit, laut sikit, kolam sikit, untuk dikumpulkan. Tak lama lepas tu, awan tu pun akan membesar sedikit demi sedikit, ikut pada banyak mana air yang dia dapat sedut. Dan tak lama lepas tu, apabila awan tu dah rasa berat sangat, dah tak larat dah ni, barulah awan lepaskan air tu turun sebagai hujan. Itupun semua, dengan izin Allah."
Kakak terpaksa menukar perkataan 'sejat' kepada 'sedut', bagi memudahkan si Adik membayangkan apa yang diceritakan itu.
"Kakak, tapi kan, Adik tak nampak pun air kena sedut...."
Meletus tawa si Kakak. Haih Adik. Adik mula membuat muka tak faham.
"Adik, tak semua proses ni kita akan nampak. Itu semua sudah menjadi kuasa Allah, bagaimana air itu disedut ke awan. Macam ni, Adik pernah tengok kan, air dekat bekas Boboi. Kadang-kadang, Boboi tak minum, air dah tinggal sedikit. Itu maknanya air Boboi dah kena sedut ke udara, nak dibawa ke awan. Memang Adik tak nampak air tu kena sedut, tapi Adik tahu, yang air dalam bekas Boboi semakin kurang. Nak pula kalau hari panas macam semalam. Lagi banyak air yang kena sedut apabila cuaca panas."
"Kakak, kalau orang menangis kan, maknanya, mata dia pun boleh sedut air macam awan ye?"
Kakak menarik nafas panjang dan dalam. Soalan yang Adik tanya kali ini, bukannya soalan yang susahpun untuk dijawab. Cuma Kakak tak pasti, seandainya Adik dapat memahami jawapan yang bakal dia berikan itu.
"Macam ni. Manusia menangis, bukan macam tu ceritanya. Manusia ni unik Adik. Allah ciptakan manusia, dengan seketul darah, yang Allah gelarkan sebagai hati. Dan hati tu, secara fitrahnya, sangat lembut. Lembut sehingga mampu untuk menyerap, dan menyimpan segala beban dan kesusahan yang dihadapinya, semasa menjalani kehidupan sehariannya di dunia ni. Dan hati itu, ada tahap kekuatannya untuk bertahan memikul beban dalamnya. Sampai satu masa, hati itu akan melepaskan semua apa yang disimpannya selama ini, melalui tangisan. Tangisan itu bukannya bukti yang hati itu lemah kerana terlalu lembut, tapi ianya bukti yang hati itu sudah lama bertahan untuk menjadi kuat dalam memikul semua beban itu. Macam awan, apabila terlalu berat, akan turun juga hujan.
Tapi, apabila seseorang manusia itu meluahkan semua apa yang dirasa dalam hatinya melalui tangisan, InsyaAllah, dia akan merasa suatu kelegaan, dan juga keringanan di hatinya. Sama macam awan, lepas hujan turun, dia pun akan menjadi kembali ringan, dan bersedia untuk menyedut balik air untuk dikumpulkan.
Manusia pun, selepas menangis, dia akan menjadi lebih bersedia untuk berhadapan dengan setiap kesusahan yang dihadapi. Hatinya yang lembut itu tetap akan terus lembut. Namun, daya kekuatannya untuk menahan beban di dalamnya akan bertambah, membuatkan dirinya lebih kuat dan tabah."
Kakaknya memandang mata Adiknya. Khusyu' si Adik mendengar, tapi, tak tahulah kalau Adiknya faham atau tidak mesej yang disampaikan itu.
"Jadikan Kak, kalau bumi, awan itu macam hati manusia. Sama juga manusia, hati dia tu macam awan. Sama-sama akan menyedut, tapi lain-lain apa yang disedut. Dan dua-dua akan lepaskan apa yang disedut itu, melalui air. Kalau awan, melalui hujan. Kalau manusia lak, menangis. Tapi kan Kak....."
Si Kakak menanti sambungan kata-kata Adiknya.
"Kenapa Kakak menangis ye setiap kali tolong Ibu masak? Memang tolong Ibu masak tu susah ye?"
Tergelak besar Kakak. Dan kali ini, gelak tawa Kakak disambut oleh gelak si Ibu.
"Tu namanya bukan menangis Adik. Kakak awak tu tak tahan dengan bawang. Setiap kali kupas bawang, berair mata. Asal kupas bawang, berair mata." Sambut si Ibu, dengan membawa dua mug berisi air Milo panas.
"Adik. Adik. Nanti Adik besar sikit tolonglah Ibu kupas bawang kat dapur. Rasa macam mana pedihnya mata masa kupas bawang. Yang tu cerita dia lain pula Adik. Nanti masa Kakak tolong Ibu kat dapur, Kakak cerita kenapa Kakak berair mata masa kupas bawang.
Ibu, terima kasih untuk air Milo panas. Kakak baru terfikir nak bancuh tadi. Sekali Adik tahan Kakak kat sini."
"Tak apa. Kebetulan Ibu pun ralit dengar cerita Kakak kat Adik tadi. Ni Adik faham tak apa yang Kakak cerita panjang dari tadi?"
"Errmmm. Ada yang faham. Ada yang tak. Tak apa, yang Adik tahu, orang yang menangis tu bukan orang yang lemah. Hehe."
"InsyaAllah, sampai masanya nanti, Adik akan faham. Apabila Adik dah besar macam Kakak, Adik akan faham dengan sendirinya setiap apa yang Kakak ceritakan ni," pesan Ibu kepada Adik.
Adik mengangguk. Milo panas mula dihirup perlahan. Alhamdulillah, nikmat rasanya dapat minum Milo panas waktu-waktu macam ni.
Hujan yang lebat tadi sudah berhenti. Matahari mula memancarkan semula cahayanya. Dan di balik cahaya itu,
"Kakak, tengok tu, ada pelangi."
Adik menunjukkan pelangi kepada Kakak. Lebar senyuman Adik dapat menyaksikan pelangi yang jarang sekali dapat dilihat.
"Kakak, masa hujan, kat luar nampak kelabu. Mendung je. Tapi apabila hujan dah berhenti, matahari keluar sekali dengan pelangi yang ada tujuh warna. Cantikkan alam selepas hujan."
Dengan penuh ceria Adiknya menyampaikan apa yang ada dalam fikirannya. Kakak tersenyum.
Subhanallah. Tidak Allah menciptakan sesuatu itu, tanpa sebabnya. Setiap sesuatu ciptaan itu mempunyai peranannya yang telah ditetapkan Allah. Ada pelangi setelah awan menangis.
"Moga Adik membesar menjadi muslimah yang tabah. Muslimah yang kuat. Muslimah yang tetap lembut hatinya. InsyaAllah. Moga Allah sentiasa melindungimu, wahai Adikku sayang."

Kisah pelangi

Dahulu saya pernah menjadi sukarelawan di sebuah rumah anak yatim. Menyapu sampah, mengagihkan makanan pada mereka, membacakan buku cerita, semua itu adalah kerja saya. Tetapi mendengar luahan hati anak-anak yatim bukanlah kerja saya, kerana saya tahu saya pasti akan menitiskan air mata. Dan saya masih ingat hari itu, hari di mana buat pertama kalinya saya membuat kerja yang bukan kerja saya.
"Semalam saya bermimpi. Dalam mimpi itu saya seolah-olah berada di kayangan yang serba indah. Tanahnya subur ditumbuhi rumput segar yang menghijau. Langitnya pula biru seperti biru laut. Ada kepul-kepul awan yang memutih seperti gula-gula kapas. Mataharinya menyinar terang tetapi tidak mengeluarkan hangat seperti biasa. Dan saya ketika itu tidak berada di tanah tetapi saya berada di udara; terbang bersama sekawan burung yang amat cantik. Pada waktu itulah baru saya tersedar bahawa saya mempunyai kepak yang cantik seperti burung nuri. Jauh di kaki langit, saya melihat ada sang pelangi yang warnanya seakan-akan sama seperti kepak saya. Dan saya menuju ke situ."
Teliti saya mendengar cerita seorang kanak-kanak di hadapan saya ini. Kanak-kanak kecil ini bernama Dila. Dia berumur 10 tahun dan menjadi anak yatim kira-kira lima tahun lepas. Kedua belah matanya tidak dapat melihat dan satu benda yang saya ingin ingatkan, jangan tanya saya mengapa; saya tidak tahu.
Seketika saya melihat air matanya bergenang.
"Eh mengapa menangis?" saya bertanya. Riak wajah saya berubah.
"Saya sedih mengapa saya masih tidak sampai ke kaki langit walaupun saya rasakan sudah terlalu lama saya terbang menuju ke sana. Saya takut pelangi itu hilang sebelum saya tiba di sana. Dan saya sangat ingin menyentuh pelangi itu. Rasa sedih begitu berat hingga saya terjelepok ke tanah. Hamparan rumput yang menghijau tidak mampu mengubat kesedihan saya. Saya terduduk. Saya rasakan saya tidak mampu lagi untuk terbang menuju ke pelangi."
Air matanya kini tidak dapat dibendung lagi. Laju air matanya berjejeran ke pipi seiring dengan esak tangisnya yang semakin kuat. Serentak dengan itu hati saya diserbu rasa sayu yang amat. Saya tidak tahu apa yang harus saya buat.
"Tidak lama selepas itu, saya rasakan ada seseorang mengusap kepala saya. Saya mengangkat muka dan saya melihat ada dua susuk tubuh yang pernah saya ketemu dahulu cuma saya tidak ingat di mana. Seorang lelaki dan seorang perempuan. Lelaki itu mengusap kepala saya dengan penuh kasih sayang sementara perempuan itu menguis air mata saya. Perempuan itu menghalakan jari telunjuknya ke arah sekawan burung berwarna-warni di langit. Kata perempuan itu burung-burung di langit sedang menunggu saya, bersedia menemani saya ke kaki langit bertemu sang pelangi. Hati saya girang mendengar kata-katanya. Mereka memeluk saya sebelum saya berangkat. Kata mereka saya akan berjumpa mereka lagi di tempat yang jauh lebih indah dari tempat ini. Saya kemudian berangkat dan terbang bersama sekawan burung menuju ke kaki langit. Semakin jauh saya terbang, semakin kecil pula tubuh mereka dan akhirnya lenyap daripada pandangan."
Air matanya masih lagi berjejeran di pipi. Bagai ada sesuatu di dalam mimpinya yang membuatkan dia terus menangis. Saya terpempan melihatnya. Lalu tubuh kecil itu saya peluk erat-erat. Biarlah saya berkongsi kesedihannya. Dan dia juga memeluk saya.
"Lalu, apakah Dila bertemu pelangi dan menyentuhnya?" saya bertanya. Masih tidak melepaskan pelukan.
"Saya tidak tahu." Serentak dengan itu dia melepaskan pelukannya dan terus menangis. Esakannya semakin kuat kedengaran. Mungkin inilah kemuncak ceritanya.
"Saya tidak tahu apa yang berlaku selepas itu kerana saya tersedar daripada tidur. Saya memalingkan wajah saya ke kanan dan kiri, mencari-cari burung-burung cantik yang menemani saya tetapi yang ada hanyalah kegelapan. Tiada lagi burung-burung yang cantik, tiada lagi rumput yang menghijau, semua sudah hilang."
Dia menekupkan kedua tangannya ke muka. Esak tangisnya begitu mengharukan. Tanpa saya sedar, saya juga menitiskan air mata. Saya hanya diam membisu, tidak tahu apa yang harus diperkatakan lagi.
Hari terakhir saya di rumah anak yatim itu, saya sempat bertamu ke pejabat urusan untuk berjumpa dengan kakitangan rumah anak yatim itu sebelum saya berangkat pulang. Selama hampir dua bulan saya menabur bakti di rumah itu, kini masanya untuk saya pulang ke kolej.
"Dahulu Dila boleh melihat. Selepas berlakunya kemalangan teruk kalau tak silap saya di Cameron Highlands dalam lima tahun lepas, mata Dila rosak teruk sehingga doktor yang merawat mengatakan matanya memang dah tidak boleh diselamatkan. Ayah dan ibunya meninggal dunia di tempat kejadian. Dila dibawa ke sini oleh salah seorang kakitangan rumah anak yatim ini yang juga saudara jauhnya. Saudara terdekat Dila semuanya tidak mampu menjaga Dila mungkin kerana faktor kewangan."
Kata-kata pengarah rumah anak yatim itu seperti halilintar yang menyambar. Mata saya mula berkaca.
"Jadi bagaimana pula dengan kisah pelangi yang diceritakan oleh Dila?" saya bertanya.
"Siapa tahu? Mungkin Dila terlampau rindukan orang tuanya hingga mendorong Dila memanifestasikan rasa rindunya itu ke dalam sebuah cerita. Mungkin juga kisahnya itu mempunyai kaitan dengan kejadian yang menimpa diri dan keluarganya."
Saya meraup tangan ke muka. Aduhai alangkah beratnya ujianmu Dila. Air mata saya tidak dapat dibendung lagi. Saat itu juga air mata saya tumpah ruah.
Hari itu. Ya, hari terakhir itu meleraikan segalanya. Tragedi yang menimpa Dila dan kisah pelanginya cukup menginsafkan. Sebenarnya dalam hidup kita, kita menyangka kita sudah ditimpa ujian yang sangat berat hingga akhirnya kita terduduk di tanah. Walhal jika kita membuka mata dan meneroka kehidupan orang lain, siapa sangka masih ada insan yang jauh tidak bernasib baik daripada kita.
Dila misalnya. Sebagai kanak-kanak, dia tidak mampu untuk meluahkan segala-galanya dengan bahasa yang lurus. Sebaliknya dia menjadikan sebuah kisah pelangi yang diadun dengan imaginasi untuk dijadikan sebuah manifestasi rasa rindunya pada orang tuanya. Dan sekali kita dapat meleraikan kisahnya, pasti akan membuatkan kita terpana dan terduduk insaf.

Mencari jalan kembali

Abdullah Umar memandang jam di dinding biliknya. Ahh ...sudah jam 3.45 petang. Terkocoh-kocoh dia bangun menuju ke bilik air lalu mengambil wudhu' untuk solat Zuhur. Leka benar dia dengan permainan Counter Strike di komputer. Sudah menjadi kebiasaan Abdullah bersolat pada akhir waktu. Padanya, tiada salahnya melewatkan solat. Solatnya masih sah sementelah ia masih dalam had waktu yang dibenarkan untuk menunaikan solat.
Abdullah tahu bahawa lebih afdal untuk menunaikan solat pada awal waktu namun dia kurang mengambil perhatian akan itu. Dia juga tahu bahawa solat adalah amalan manusia yang pertama akan dihisab oleh Allah SWT di Padang Mahsyar kelak namun Abdullah tetap begitu. Dia tetap liat untuk solat.
Dalam solat, kerap benar fikiran Abdullah menerawang hinggakan dia terlupa sudah berapa rakaat telah disempurnakannya. Abdullah asyik memikirkan permainan komputer yang dimainkannya sebentar tadi. Solatnya tidak khusyuk. Kerap kali begitu. Sukarnya untuk mendapatkan khusyuk di dalam solat! Ahh ...solat atau tidak sama sahaja. Tiada kesan pada Abdullah.
Abdullah berdoa ringkas. Doa dipanjatkan untuk ibu bapa dan dirinya. Tidak pula dia mendoakan saudara seIslam yang lain. Abdullah sangat mengetahui akan penderitaan dan penindasan yang berlaku kepada umat Islam di Syria, Palestin dan Myanmar serta umat Islam yang lain namun Abdullah tidak mendoakan keselamatan dan keamanan untuk mereka. Sebaliknya, Abdullah berasa beruntung sendiri kerana berada di negara yang aman.
Sekiranya Abdullah berada di tempat mereka, pastilah Abdullah mendambakan doa-doa daripada saudara seagama yang prihatin. Paling tidak, Allah mendengar doa dan insya-Allah, Allah akan makbulkan doanya. Maka, berkuranganlah perit derita yang mereka lalui. Umat Islam diibaratkan sebagai satu anggota badan. Apabila peha kanan dicubit, peha kiri turut terasa. Derita mereka sepatutnya menjadi derita Abdullah juga.
Abdullah juga seperti remaja lain yang mempunyai rasa ingin dicintai wanita. Sudah lama Abdullah berpasangan dengan Zila. Perkenalan yang membahagiakan itu terjadi ketika Abdullah dan Zila berada dalam semester dua peringkat pengajian diploma. Setiap hari mereka menghabiskan masa berjam lamanya untuk berbual sama ada melalui pesanan ringkas ataupun panggilan telefon.
Walaupun mereka sering bertemu, rindu antara mereka tidak pernah surut. Kerap kali mereka keluar berdua untuk makan bersama, menonton wayang dan membeli-belah. Dalam pelajaran pula, mereka berdua merupakan pelajar cemerlang di kolej mereka. Kebiasaannya pada setiap semester, CGPA mereka pasti di atas 3.50. Ramai rakan-rakan yang mencemburui kepintaran mereka, namun itulah rezeki yang dijanjikan oleh Allah SWT kepada mereka. Sifat Ar-Rahman dan Ar-Rahim Allah SWT yang sentiasa memberikan rezeki kepada hamba-hambaNya yang gigih berusaha tanpa mengira tahap keimanan seseorang itu kepadaNya.
Walaupun begitu, jauh di sudut hati Abdullah ada terselit satu perasaan tidak tenteram. Solat dan Al-Quran tidak berjaya menegahnya daripada melakukan maksiat. Kadang-kala Abdullah mempersoalkan, jika solat menegah manusia daripada melakukan kemungkaran namun mengapa dia masih melakukan dosa dan maksiat. Di mana silapnya? Abdullah juga sering berzikir dan beristighfar namun Abdullah tidak menemui ketenangan daripadanya.
Abdullah cuba mencari makna di sebalik firman Allah SWT iaitu dengan mengingati Allah jiwa akan menjadi tenang namun mengapa Abdullah masih jauh daripada ketenangan? Dek kerana mencari ketenangan, Abdullah mengunjungi pusat karaoke, pusat snuker dan pernah sekali Abdullah ke kelab malam. Kunjungan Abdullah ke sana menimbulkan amarah bapanya. Bukan sahaja gagal menemui ketenangan yang dicari malah dirotan pula. Bapanya tidak dapat menerima kenyataan bahawa anak sulungnya itu yang sepatutnya menjadi contoh dan pelindung kepada adik-adiknya mengunjungi kelab malam!
Satu hari ketika Abdullah di kedai buku, Abdullah terdengar sebuah lagu merdu yang didendangkan di radio. Abdullah segera mendekati corong suara untuk mendengar dengan lebih jelas lagi.
"Jalan pulang bukannya mudah, Musuh nafsu ajak menyerah,
Mohon taufik mohon hidayah, Agar selamat dari fitnah"
Bait-bait lagu tersebut menyentuh hati Abdullah. Rasa sayu menggayut hati. Entah apa istimewanya lagu itu namun ia hampir-hampir mengalirkan air mata Abdullah. Pulang ke rumah, Abdullah bermuhasabah diri. Dia merasakan hidupnya selama ini banyak diluangkan untuk perkara sia-sia. Dia sepatutnya menjadi khalifah Allah yang meneruskan perjuangan Rasulullah SAW namun banyak hal berkaitan Islam yang Abdullah abaikan.
Jauh benar beza dirinya dengan pemuda pada zaman Rasulullah SAW. Pemuda seperti Saidina Ali RA sanggup menawarkan nyawa sebagai galang ganti kepada nyawa Rasulullah SAW yang ingin dibunuh oleh Musyrikin Mekah. Betapa teguhnya iman Saidina Ali RA!
Mengenangkan betapa lemahnya iman, air mata Abdullah mengalir tanpa tertahan lagi. Segera, sejadah dicapai dan solat sunat taubat dilakukan. Lama Abdullah bersujud sambil diiringi air mata yang deras mengalir. Pada Allah ampunan diharapkan. Dalam doanya, "Saksikanlah Ya Allah, hari ini Abdullah Umar datang menyerah diri dan mengakui segala dosa. Ya Allah, ampunkan aku. Sungguh, aku sangat menzalimi diriku sendiri."
Abdullah memutuskan untuk bertemu Ustaz Hanafi, guru agama di sekolahnya dulu. Abdullah tahu, Ustaz Hanafi pasti bersedia membantunya. Apabila disoal tentang hidayah yang datang melalui lagu, kata Ustaz Hanafi, "Jika lagu tersebut mengajak kepada keesaan Allah dan mendatangkan keinsafan kepada kita, maka itulah hidayah daripada Allah. Abdullah, bersyukurlah Allah mengurniakanmu hidayah. Hargailah ...takut-takut ini hidayah yang terakhir."
Abdullah pulang dengan hati penuh penyesalan. Abdullah bertekad untuk memelihara hidayah yang diperolehinya. Ibu dan bapa Abdullah sangat menyenangi perubahan Abdullah. Dinamakan Abdullah Umar sempena Khalifah Umar bin Abdul Aziz yang soleh. Sudah tentu ibu bapanya mendambakan zuriat mereka itu juga soleh.
Kini Abdullah fahami, kebaikan dan dosa tidak boleh dicampurkan. Berpasangan dan melakukan perkara yang sia-sia yang lain menambahkan lalai di hati Abdullah. Ia membuatkan Abdullah semakin jauh daripada cinta Allah. Abdullah juga tidak merasakan kemanisan beribadah kepada Allah. Dia belajar untuk bersyukur dan menghayati setiap bait zikir yang dilafazkannya.
Abdullah berazam untuk meninggalkan jalan-jalan maksiat. Hubungannya dengan Zila banyak menambahkan saham dosa Abdullah. Mengingati, merindui dan memandang Zila sering membawa kepada zina fikiran dan hati. Abdullah khuatir hatinya bertambah gelap dengan dosa. Oleh itu, Abdullah terpaksa bertegas dengan kemahuan nafsunya. Cukup sukar untuk Abdullah melakukannya namun Abdullah ikhlaskan hati. Semuanya demi mengejar cinta yang agung. Matlamat Abdullah semakin jelas kini. Hanya redha Allah yang akan dicari. Abdullah mengharapkan penghijrahan kali ini hingga ke hujung nyawa. Semoga Allah SWT meredhai usaha Abdullah dalam mencari jalan kembali.

Dengan kesusahan datang kesenangan

Matahari memancarkan sinarnya. Awan putih kian pupus ditelan teriknya pagi. Sesekali kapal terbang melalui ruang udara bertemankan langit biru. Angin sepoi bebas berkeliaran dan kadangkala menyapaku, menyelak lembut tudungku namun gagal. Burung sesuka hati sahaja membuat huru-hara di sini dengan kicauannya yang berentak dan mengikut melodi hatinya mungkin.
'Seronoknya kau, kan burung? Tak ada masalah.'
Aku cemburu buta pada sang burung. Enaknya mereka bernyanyi sedangkan jiwa aku sedang huru hara dek ribut melanda. Mahu saja berlakunya tsunami. He he.
Buku yang dari tadi ku pangku untuk ku hafal tidak lagi aku hiraukan. Jasad masih di sini. Roh entah kemana. Mesir agaknya... Aku tersengih-sengih sendiri.
Ya... Universiti Al-Azhar...
Impianku sejak kira-kira 4 tahun lalu. Masih tersemat kemas dalam poket harapan. Mungkinkah tertunai suatu hari nanti? Wallahu'alam. Ada rezeki tak ke mana kata orang. Hati aku masih menafikan kenyataan yang masih belum pasti kesahihannya. Aku cuba untuk bersangka baik sahaja.
Teringat pula aku pada kata-kata kakakku kelmarin, "Di negara ni, kita hanya imigran. Orang asing yang tidak dihalau keluar."
Kadang-kadang lucu juga teringatkan kata-kata itu. Masakan aku yang berstatus 'warganegara Malaysia' dicop sebagai 'imigran'. Namun, itulah realitinya. Mungkin kerana bapaku masih berstatus 'bukan warganegara'. Di titik itu jualah banyak persoalan yang datang hinggap di mindaku. Jikalau aku dicop sebagai imigran, sudah tentu banyak masalah yang akan timbul. Akalku mulai ligat berfikir bagai keretapi yang sedang meluncur. Denyut jantung memang sudah tak teratur lagi. Bagaikan ada bertan-tan batu menghempap tubuhku. Hingga menggugurkan jantung, tersembam mencium bumi. Berkecai dan bersepai hilang entah ke mana.
Detik itulah juga aku mula bersangka buruk. Bagaimankah masa depanku? Universiti Al-Azhar?
Ahhhh! Soalan itu tak mampu aku jawab. Andaikan itu soalan imtihanku, aku biarkan kosong. Warna putih kertas sahaja. Memang aku tidak tahu. Mungkin aku hanya boleh memberi jawapan...
'Kau tanyalah pada masa depanku. Mungkin mereka mengetahui.'
Dunia memang tidak adil. Tentunya. Masakan dunia akan adil? Akhirat esok sajalah yang adil. Undang-undang manusia yang kian berubah memang membuatku buntu. Astaghfirullahal'aziim..
'Ya Allah, sememangnya ujianMu ini cukup berat untukku...' Sebak aku tahan, tersangkut di dada. Sejak itu jugalah aku sibuk memikirkan hal itu! Salah kalau orang menganggap aku menyesal! Aku tak menyesal mempunyai seorang abah yang berstatus 'bukan warganegara'. Sangat salah!
---------------------------------------

*Beep!*
Satu SMS masuk ke inbox. Dahiku berkedut hairan.
'Allah berfirman: "Syaitan itu menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu dengan kemiskinan dan kepapaan (jika kamu bersedekah atau menderma), dan ia menyuruh kamu melakukan perbuatan yang keji (bersifat bakhil kedekut); sedang Allah menjanjikan kamu (dengan) keampunan daripadaNya serta kelebihan kurniaNya. Dan (ingatlah), Allah Maha Luas limpah rahmatNya, lagi sentiasa Meliputi PengetahuanNya." (Al-Baqarah: 268)
Sahabat, la tahzan innallaha ma'ana. Biarkan hari esok datang dengan sendirinya; jangan kau menanyakan khabar masa hadapanmu...Teruskan usaha dan tawakkal kepada Allah. Jangan pernah berhenti. Usah peduli pada kebuntuanmu. Uhibbukifillah.'
From: Aisyah, 0123456789
Aku mulai faham apa yang sahabatku, Aisyah ingin sampaikan. Aku menceritakan apa yang sedang mengisi ruang akalku. Sungguh dia mengerti tentangku selepas kedua ibu bapaku. Masih teringat detik ketika aku meluahkan isi hatiku padanya bertemankan sedu-sedan!
Aku menekan butang reply di telefon bimbitku. Aku mulai menaip.
'Terima kasih sahabat. Lukaku mungkin akan terubat sedikit atas nasihatmu. Ya, innallahama'ana. Sesungguhnya Allah bersama kita. Uhibbukifillah juga.'
Aku menekan butang send.
To : Aisyah, 0123456789

Seusai solat maghrib, aku membuka tafsir Al-Quran Karim. Aku membaca setiap ayat di dalam surah At-Talaaq dan menghayati setiap maknanya dalam Bahasa Melayu.
"...dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya), Serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu."
(Surah At-Talaaq, ayat 2-3)
Aku menyelak lembaran seterusnya.
"...(Orang-orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan."
(Surah At-Talaaq, ayat 7)
Subhanallah! Ya Allah, Kau sedang menunjukkan sesuatu padaku... Tiba-tiba air mataku jatuh berderai. Sudah lencun telekungku dibuatnya. Sesungguhnya Engkau Maha Mendengar, Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Segala puji bagiMu, Ya Allah.

---------------------------------------
Allahuakbar! Terkejut aku. Buku yang tadi ku pangku jatuh ke lantai angkara angin. Aku pungut.
"Aimi! Masuk sini kejap. Nak minta tolong. Please!" adikku memanggil.
'Biarlah Allah yang aturkan segalanya. Dia Maha Mengetahui. Sedangkan aku tak tahu apa-apa. Kalau ia rezeki aku, alhamdulillah. Jika bukan, aku percaya, something good will come later. Insya-Allah.'

Menanti ketika.....

Tahniah Imah, engkau memang layak dengan anugerah ini" puji Mardiana sambil merangkul tubuh Imah sebaik tamat upacara konvokesyen tengahari itu. Bertalu-talu ucapan tahniah diterimanya. Imah bersyukur. Walaupun anugerah bukanlah matlamat utama dia belajar, namun ia merupakan suatu kepuasan. Puas dengan usaha dan doa yang tidak putus-putus dikirim, serta tawakkal yang menebal di dada terhadap Allah, Tuhan pencipta kejayaan dan kegagalan.
"Bagaimanakah agaknya perasaan aku, jika berjaya melangkah masuk ke pintu syurga Allah di akhirat nanti?" soalnya dalam hati.
"Ya Allah, jadikan aku sebahagian dari tetamu syurgaMu!" doanya tulus.
Hari ini semua graduan meraikan kejayaan mereka bersama-sama keluarga masing-masing. Imah hanya bersendiri. Ibu tidak dapat hadir. Ada urusan yang perlu diselesaikan. Penting katanya. Imah memahami. Ibu seorang yang bertanggungjawab di rumah besar itu. Kebajikan semua anak-anak terpikul di bahunya.
Imah memerhati kegembiraan teman-teman graduan yang lain. Melihat dengan pandangan mata yang mengharap. Menagih sesuatu yang telah sekian lama menjadi impian. Tiada bayangan yang dapat mengiringi. Kerana tiada rupa untuk ianya digambarkan. Hanya khayalan menjadi teman sepermainan perasaan itu.
Dilihatnya air mata ibu yang tidak henti-henti mengalir. Diperhatikan juga riak kebanggan yang terukir di wajah ayah. Si anak pula entah berapa kali dipeluk dan dicium oleh kedua orang tuanya.
Ibu bapa jelas puas. Perjudian hidup selama ini berbaloi. Si nelayan bertarung dengan ombak. Si petani bermandi peluh menguli selut dan lumpur. Si Penoreh getah menatang diri untuk sajian nyamuk waktu dinihari. Hanya satu matlamat yang dikejar. Walau wadah berbeza rupa dan paras. Untuk melihat anak-anak mereka mengecapi kejayaan.
Imah mengambil tempat di satu sudut yang jauh dari teman-teman. Dia malas untuk menjawab soalan jika ditanya tentang keluarganya. Tentu sekali ibu bapa teman-temannya akan bertanyakan soalan itu.
Bukankah konvokesyen hari untuk ibu bapa? Mana ibu dan bapamu pada hari bersejarah ini? Argh!
"Walau besar mana sekalipun dosa seorang ibu terhadap Allah, ibu tetap ibu.  Seorang insan mulia yang telah mengandungkan dan melahirkan kita semua ke dunia" nasihat  ibu sewaktu memberi tazkirah suatu masa dulu mengusik ingatannya. Dia tunduk tika lidah ibu menutur kalam nasihat itu. Dadanya sebak. Perasaan rindu mercup deras dari dasar hatinya. Melonjaknya untuk  bingkas bangun meninggalkan majlis ilmu itu seketika. Ibu memandangnya. Dia  terus juga berlalu. Maju ke biliknya, pantas. Bimbang air matanya gugur di hadapan sahabat-sahabat yang lain.
Belum pernah Imah menangis di hadapan mereka. Belum sekalipun air matanya menempiasi perasaan mereka. Belum lagi deria dengar mereka menghalusi bait-bait syair cinta ilustrasi rindu gubahan jiwanya.
Tak perlu! Mereka tidak perlu menghalusi syair itu.
Imah hanya melagukan syair cintanya di hadapan Allah. Suka, tawa, sedih, pilu, tangis, duka yang merentasi denai perasaan; berkocak di muara hati, pasti pada Allah Taala jualah tempatnya menitip bait-bait rintihan dan luahan, mengadu segala yang berbuku di sanubari.
Menangis di hadapan Allah lebih memuaskan. Ketawa ketika berbicara dengan Allah lebih menggembirakan.  Allah Maha Mengetahui gurindam perasaan, kerna Dialah yang menciptanya. Walau apa sekalipun bentuk parasnya, di atas kudrat dan iradat Allah jua terbinanya perasaan itu.
"Mujur juga ibu tidak menghalang aku ketika bangun meninggalkan majlis pada malam itu" dia berbisik sambil menekup mukanya dengan kedua telapak tangan.
*****
Dia rindukan mamanya. Wanita  yang bertanggungjawab atas kehadirannya ke dunia. Di rahim mama  Allah tempatkannya sementara. Sembilan bulan lebih dirupa bentukkan sebelum menjengah ke alam kedua perjalanan hidup seorang hamba. Walau mata belum pernah bertentang, walau jasad tidak pernah berdakap. Namun kahangatan cinta terasa benar membakar jiwa. Cinta seorang anak terhadap insan yang telah melahirkannya ke dunia. Disyairkan kalam cintanya setiap kali mengutus doa terhadap Yang Maha Esa.
Cerita  ibu, mama seorang yang penyayang. Cantik rupa paras serta santun tutur kata. Tenang ketika berbicara walaupun dalam keadaan sedih. Seperti, saat mama meninggalkan Imah di bawah jagaan ibu.
Imah senyum. Mungkin sikap mama ini yang menulari jiwanya. Di mana tumpahnya kuah kalau tak ke nasi. Sembilan bulan berada dalam kandungannya, mana mungkin tiada persamaan antara mereka, biarpun hanya sekali meneguk susu di pangkuan mama.
Sejak Imah ditinggalkan mama bawah jagaan ibu, bersama dengan anak-anak ibu yang senasib dengannya, belum pernah sekalipun mama datang menjenguk. Namun kata ibu, mama pernah berjanji akan datang mengambil Imah hidup bersamanya.
"Mama Imah terlalu muda waktu itu. Gagal melawan kehendak nafsu. Liar bila nafsu sudah bermaharajalela. Sudah tidak kenal halal haram dalam agama" cerita ibu.
"Kita tidak boleh salahkan dia. Itu dosa dia dengan Allah. Imah kena banyak berdoa supaya Allah mengampunkan dosa mama. Doakan juga supaya Allah buka hati mama untuk bertaubat. Hari-hari Imah kena berdoa" nasihat ibu lagi.
Seingat Imah belum pernah dia terlalai mangirim doa untuk mama. Mintanya pada Allah, supaya semua dosa mama terampun. Pohonnya pada Allah, agar dibukakan pintu hati mama untuk bertaubat. Rayunya pada Allah, menerima taubat mama dan kekalkan taubatnya hingga akhir hidup mama. Diakhirinya doa tersebut dengan syair cinta, agar Allah pertemukan dia dengan mama walau hanya sekelip mata.
"Saya dengar, mak kandung awak, bohsia. Betul ke?"
"Mak kandung engkau tu perempuan jalang, tak payah la engkau susah-susah nak cari dia"
"Apa? Emak awak berzina dan lahirkan awak. Kemudian tinggalkan awak di rumah kebajikan itu. Jadi, awak ni, anak luar nikah? Begitu?"
Setiap kali persoalan atau kenyataan seumpama itu terungkap, hanya hati yang mampu berkata....memang. Mama memang seorang bohsia. Perempuan jalang yang menatang tubuh untuk lelaki-lelaki berwajah syaitan. Berzina sehingga melahirkan aku, anak di luar pernikahan. Mama seorang yang tidak bermoral dan sosial. Tidak takutkan hukum Tuhan. Mabuk menghirup kelazatan dunia. Khayal dibuai nafsu remaja.
Tapi! Dosa-dosa mama tidak mencantas dahanan kekeluargaan kami. Sehina manapun mama di mata masyarakat, mama tetap ibu kandungku. Sekeji manapun dosa mama terhadap Allah, namun susunya pernah kuteguk untuk terus mandiri di bumi Allah ini. Tiada dosa yang tidak terampun selain syirik mendua tigakan Allah. Itu kalam Allah. Wajib diimani.
"Mama, baliklah! Pulanglah ke pangkuan Allah. Bertaubatlah selagi pintu itu belum terkunci. Anak mama yang pernah mama tinggalkan di perkarangan rumah kebajikan itu sedikitpun tidak pernah membenci mama. Tiada dendam yang bertunas di jiwa anak mama ini. Malah, Imah bersyukur kepada Allah kerana mama tidak meninggalkan Imah di tempat-tempat yang bisa memisahkan nyawa dan tubuh Imah. Mama, lihatlah! Imah kini bukan lagi berusia satu hari seperti saat perpisahan kita" rayu hati kecilnya.
Imah meneguk air mineral. Perit tekaknya menelan air kerana sebak.  Matanya yang berkaca-kaca masih lagi memerhati dan mengharap. Memerhati keriangan teman-teman meraikan kejayaan bersama keluarga tersayang. Mengharap kalau-kalau kelibat ibu muncul di pandangan. Mana tahu, urusan ibu cepat diselesaikan. Boleh juga menyimbah kehangatan rindunya.
Dalam gundah Imah bersyair. Syair indah sastera Arab kiriman teman yang kini sedang menuntut di Mesir melalui email. Dihafalnya dan dibaca sentiasa sebagai  motivasi diri untuk berpenat-lelah menyemai amal di bumi, agar tidak kecewa saat menuai hasil di Mahsyar nanti.
"Kamu telah dilahirkan oleh ibumu wahai anak Adam dalam keadaan menangis......
dan manusia di sekelilingmu sedang ketawa gembira....
dan beramallah untuk suatu hari dimana mereka pula yang menangis...
pada hari kematianmu yang mana engkau ketawa gembira"
"Kamu inginkan syurga, tapi tidak menelusuri jalan-jalan ke arahnya....
sesungguhnya sebuah bahtera tidak mungkin berlayar di pesisiran pantai"
Sebak dadanya hanyut sebaik arus syair itu menerjah. Langsung menyubur keceriaan yang hampir layu di jiwa.  Lalu, perasaan itu ditularkannya ke wajah. Bagi membenihkan sedikit tenaga mengukir senyuman supaya lidahnya lancar menutur zikir. Subhanallah! Alhamdulillah! Allahu Akbar!
"......Dan ketahuilah, dengan mengingati Allah itu hati manusia menjadi tenang" (Al-Ra'd : 28)
*****
"Assalamaulaikum, Naimah. Saya mengganggu awak ke?"
"Waalaikumussalam" jawab Imah sambil memalingkan mukanya ke arah suara tersebut. Imah terpempan. Lidahnya kelu. Tenaga yang menulari jiwanya tadi layu semula.
Di depannya berdiri seorang wanita bersama seorang anggota polis wanita dan ibu. Sebelah tangannya digari dengan tangan anggota polis tersebut. Lama mata mereka bertentangan. Membiarkan hati berbicara sendiri.
"Ya Allah! Mama rindu kamu, sayang"
Imah terus meluru langsung mengucup tangan wanita itu. Mereka berpelukan. Imah melepaskan segala perasaan yang sekian lama terkurung dalam rangkap syair cintanya. Bibirnya basah meratib syukur kepada Allah kerana dendam rindu kini berbalas.

Jangan jadi sesiapa jika.....

Ketika bertemu seseorang, riak wajahnya terlebih dahulu terpancar. Sekiranya yang ditemui sedang menangis, kita pasti akan mengatakan bahawa orang itu sedang bersedih. Jika orang itu sedang ketawa, tentu sekali akan dikatakan dia sedang gembira. Hebat sekali Allah ciptakan komunikasi perasaan.
Meskipun tanpa berkata apa-apa, sudah ada anggapan yang boleh dibuat. Begitu juga jika yang ditemui itu berbahasa asing. Sudah tentu komunikasi bahasa antara kita dan dia mungkin tidak dapat difahami. Dengan komunikasi perasaan sahaja, keadaan dia sudah dapat kita fahami. Nah! komunikasi perasaan itu tidak perlu kepada pemahaman antara dua bahasa. Tidak perlu kepada kata apa-apa.
Namun, itu hanya anggapan awal. Mana mungkin akan diketahui kenapa orang yang ditemui itu sedang begitu. Pasti membuak di dada mahu diketahui apa puncanya, apakah isi yang ingin disampaikan tanpa perlu kepada kata apa-apa.
"Jangan buat apa-apa, jangan cakap apa-apa,jangan jadi sesiapa, jika anda takut di Kritik " (Dr.'Aidh Abdullah Al-Qarni)
Ya, Jika anda takut untuk menerima kritikan, maka jangan jadi sesiapa!
Inilah perkara sebenar yang ingin saya kongsikan. Lumrah kehidupan manusia, sebelum melakukan sesuatu, kebiasaannya akan ada monolong dalaman. Adanya kebarangkalian positif dan negatif. Kebarangkalian positif itu tiada masalah, akan menjadi momentum untuk lekas melakukannya. Akan tetapi, kewujudan kebarangkalian negatif yang menjadi peragut momentum. Peragut itulah yang saya namakan 'kritikan'. Kritikan pula ada yang secara berhadapan dihambur bagai percikan bunga api. Indah kelihatan tetapi bila terkena pedih terasa. Tidak ketinggalan kritikan yang secara senyap. Cukup sekadar mencebik bibir, yang terkena makan dalam dibuatnya.
Diari Kritikan
Hari-hari berhadapan dengan berbagai manusia. Ada sahaja yang kena dan tidak kena dilalui.
" Saya duduk depan dalam kelas, tapi kawan-kawan cakap saya skema, nak bodek pensyarah"
" Saya nak tanya soalan masa dengar kuliah ustaz, tapi malu. Nampak yang saya kurang ilmu "
" Saya nak pergi solat sunat Dhuha masa break minum pagi kat office, tapi kawan-kawan office cakap saya alim sangat "
" Saya nak tegur student saya supaya berpakaian sopan menutup aurat masuk kelas saya, tapi student jadi tak suka saya, cakap saya strict sangat"
Saya yakin anda punyai diari kritikan tersendiri. Sebagai seorang pelajar, pekerja, pengajar, ahli masyarakat, dimana-mana ada kritikan. Inilah peragut yang bisa melenyapkan atom-atom kebaikan untuk bebas bergerak.
Kebebasan Dari Diragut
Mari kita mencari uraian-uraian atom bagi membebaskan diri dari diragut kritikan. Bukan sekadar mahu menyebut diari-diari di atas. Tetapi bagaimana penyelesaiannya?
Anda perlu kepada buat apa-apa. Anda perlu kepada gerakan mulut bercakap apa-apa. Anda perlu pembinaan identiti untuk menjadi sesiapa. Meskipun kritikan, persoalan dan anggapan sedang menari-nari di monitor minda. Allah menciptakan kita bersebab,bukan main-main. Kita adalah makhluk ciptaan Allah yang mutlak.
"Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar beribadah kepada-Ku"
(Surah az-Zariyat ayat 56)
Kita berasa takut untuk berbuat apa-apa kerana takut pada kritikan. Tetapi bagaimana kita hendak menjadi manusia yang beribadah kepada Allah kalau tidak melakukan apa-apa. Ibadah bukan hanya solat, puasa, sedekah, tetapi mencakupi seluruh kehidupan kita. Perlu untuk kita nyatakan yang benar. Yakni melakukan usaha-usaha untuk diri dan manusia lain kepada kebaikan dan meninggalkan perkara yang dilarang.
 
Membina Perisai Diri

Bercakap memang mudah. Semudah A,B,C. Tetapi bila hendak buat apa-apa bukan semudah bercakap. Teorinya tidak semudah praktikal. Khuatir dengan penerimaan rakan-rakan, jiran tetangga dan ahli keluarga terhadap apa yang kita buat. Seboleh mungkin mahu mereka menerima secara baik. Mahu mereka beri kritikan positif. Namun, harus bagaimana kalau belum di buat hendak tahu penerimaannya? Maka dengan itu, membina perisai itu salah satu inisiatifnya. Setiap hari kita solat, berdoalah pada Allah dengan penuh penghayatan. Surah yang wajib dibaca ketika solat ini punyai doa buat kita.
"Tunjukilah kami jalan yang lurus"
(Surah al-Fatihah ayat 6)
Kita pinta pada Allah jalan yang lurus. Iaitu jalan hidup yang benar, yang dapat membahagiakan di dunia dan juga di akhirat. Andai jalan-jalan yang akan kita lalui akan datang dapat kita lihat, sudah pasti akan kita bina pagar-pagar menahan diri daripada tersasar daripada landasan jalan yang lurus itu. Doa inilah yang boleh kita jadikan perisai dari tersasar dalam melakukan sesuatu.
Letupan Momentum
Anda pasti ada perkara-perkara yang mahu dilakukan. Namun terbatas kerana kritikan manusia. Ayat lebih mudah saya katakan, orang mengata, orang pertikaikan. Andai kemahuan yang baik, letakkan kritikan manusia dibelakang. Halakan keinginan yang baik, cita- cita yang murni kerana Allah ke hadapan. Gapailah bintang-bintang kejora yang indah buat diri. Kritikan dan ujian itu sememangya ada pada tingkat-tingkat kehidupan yang kita lalui. Ada tingkat yang mudah didaki. Ada yang perlu penat lelah untuk sampai ke puncak.
"Telur ayam kalau menetas, dapat anak ayam. Kalau dipecahkan dan digoreng,dapat telur mata. Kalau dibiar, cengkerang akan pecah,akan jadi telur busuk."
Kenapa analogi ini saya berikan?
Jika ada kemahuan untuk melakukan sesuatu yang baik, cita-cita yang murni, lakukanlah ketika lembar usia yang ada ini. Macam telur ayam, hasil yang baik akan dapat jika ditetaskan dengan baik. Ditetas pada masa yang betul, pada tujuan yang baik. Kalau dibiarkan jadi telur busuk, anda sudah mensia-siakan kebaikan daripada telur ayam itu.
Begitu juga kalau keinginan baik yang tidak dilaksanakan kerana takut dikritik akan berkarat dalam minda. Terbuku begitu sahaja tanpa manfaatnya terutama pada diri. Ibu ayam pun perlu lalui cabaran sebelum menetaskan telur. Diperam dengan penuh sabar dan dijaga daripada binatang lain yang mengintai-intai telur untuk dijamah. Keluarlah dari cengkerang minda yang disempitkan oleh kritikan. Keluarlah seperti kicau riang anak-anak ayam yang menetas daripada cengkerang telur ke dunia luar. Dunianya yang selama ini di dalam cegkerang kini luas di depan mata.
Penutup kepada bicara kritikan ini, jadikan kritikan ujian hidup. Ujian yang perlu dilalui secara positif. Bina persepsi yang betul tentang kehidupan. Anggap kritikan sebagai "learnig process" (proses pendidikan). Proses menjalani pendidikan kehidupan. Tentu sekali dalam melaui proses kehidupan ini kita pernah gagal, pernah sakit, pernah sedih, pernah terima pelbagai kritikan. Jadikanlah proses ini sebagai momentum ke arah kebaikan akan datang.
" Kritikan daripada orang zalim ialah sumber kekuatan untuk orang yang ingin berjaya. Kritikan tersebut umpama kempen percuma, iklan terhormat dan pemberitahuan tentang kebijaksanaan seseorang." (Dr.'Aidh Abdullah Al-Qarni)
Ayuh! Orakkan langkah. Lupuskan rasa lemah kerana kritikan. Neutralkan kritikan menjadi atom-atom positif kebaikan. Jadhlah sesiapa, buatlah apa-apa, katalah apa-apa. Apa yang penting, buatlah kerana Allah

6 Okt 2012

Kebersamaan






kebersamaan yang takkan terlupakan dan sebentar lagi akan menjadi sebuah kenangan yang terindah...

kami hidup disebuah pondok yang bernama PONPES AL-AQOBAH tepatnya di Jl.Gerilya 51 Kwaron Diwek Jombang, kami menjalani hidup di ponpes selama 3 tahun dengan kebersamaan yang takkan pernah hilang, kami merasakan kesedihan saat kehilangan teman (pindah) dan kami juga merasakan kesenangan pada saat ada teman kami yang baru datang, kami merasakan segala rasa apapun.

sekarang kami sedang menunggu peperangan yang akan datang, kami tnggal menunggu waktu.....

kebersamaan adalah sebuah pertemanan yang selalu bersama dan merasakan kesenangan kesedihan kesakitan kebahagiaan bersama , tak pernah mempunyai rasa yang terpendam kepada satu sama lain dan tak pernah ada dusta........