Pada hari pendaftaran, Murni mengenali ramai kawan- kawan baru. Si kembar Norlida dan Norliza, Halimaton, Shuhada, Liyana. Murni gembira. Sekurang kurangnya dia tidak akan kesunyian nanti. Kelihatan Pengerusi asrama anak yatim tersebut asyik memberi ucapan kepada para waris anak-anak yatim yang hadir. Murni tidak mengambil pusing akan ucapan itu. Matanya asyik melihat kenderaan yang lalu lalang di jalanan. Hatinya gembira sungguh tidak terkata. Inilah pengalaman pertama Murni tinggal di bandar. Di mindanya membayangkan kegembiraan yang bakal dikecapinya ketika tinggal di situ.
Ibunya khusyuk mendengar taklimat. Wajah ibu kelihatan tenang. Mungkin ibu tidak bersedih akan perpisahan yang bakal berlaku antara mereka, duga Murni. Murni berlagak ramah dengan kawan-kawan barunya. Namun kebanyakan mereka berwajah sugul, ketara benar dengan dirinya. Di dalam hati Murni mengejek-gejek mereka.
"Ah..kenapa cengeng sangat." Herdiknya di dalam hati
Murni tidak pula bersedih begitu. Tegar benar hatinya. Baginya dia akan bebas berada di asrama tanpa kawalan ibu. Tiada siapa lagi akan memarahinya kelak jika dia pulang ke rumah pada waktu maghrib. Hakikatnya, Murni tidak tahu bahawa keseluruhan rutin hidupnya bakal berubah seratus peratus apabila dia tinggal di asrama. Murni juga terpaksa berdikari tanpa bantuan ibu di sisi. Murni terlalu mentah untuk memahami itu semua.
Murni diperkenalkan dengan ustaz yang bakal mendidiknya dan rakan- rakan di situ. Ustaz Saifullah namanya. Sudah berusia 39 tahun. Itu anggaran si mentah Murni. Mempunyai anak anak yang ramai, empat putera dan seorang puteri. Isterinya digelar makcik oleh kakak - kakak dan abang - abang senior di situ.
Hari menjelang petang, para waris mula melangkah pulang. Tersedu sedan Murni menangis tatkala melihat ibunya melangkah pergi. Ternyata Murni bukan setegar mana. Meskipun Murni cuba untuk tidak menangis sedih namun air mata tumpah jua. Tidak banyak yang ibu pesan, namun kata azimat untuk belajar rajin-rajin ibu titipkan kepada Murni. Pesan ibunya dijadikan kekuatannya untuknya mengharungi hari hari di asrama itu. Di sana Murni di ajarkan ilmu agama. Murni tidak pernah bersekolah agama seperti rakan-rakan sebaya. Oleh yang demikian pengetahuan agama Murni sangat dangkal. Pelajaran agama bermula dengan bacaan Al Quran.
Di hadapan Ustaz Saifullah, Murni mendengarkan bacaan Al Qurannya namun bacaan Murni terlalu banyak kesalahan tajwid. Antara rela dan terpaksa Murni mesti mengulangi pelajaran buku Iqra'. Dia perlu bermula daripada Iqra' Empat. Malunya Murni.. selama hari ini, dia sangat lancar membaca Al Quran di hadapan guru Al Qurannya di kampung malah sudah beberapa kali dia khatam Al Quran. Apabila Ustaz Saifullah berkata "Tajwid kamu tak betul, ulang semula buku Iqra". Murni bingung dan tertanya- tanya dimanakah silapnya namun diturutkan sahaja kata-kata Ustaz. Siapalah dia untuk melawan gurunya.
Pelajaran tajwid diajarkan oleh Ustaz pada setiap hari Khamis. Selebihnya Murni banyak mendapat tunjuk ajar kakak-kakak senior di dalam usaha membaiki bacaan tajwidnya. Murni tidak pernah tahu tentang tajwid. Di sana juga Murni belajar Tauhid, Akhlak, Hadis dan Feqah. Melihatkan seorang seniornya membaca Al Quran beserta tarannum membuatkan Murni bercita-cita untuk menjadi seorang Qariah namun dia tahu, banyak yang perlu dibetulkan sebelum menjadi seorang Qariah.
Bacaan tajwidnya masih lintang pukang, manakan mungkin dia mampu menjadi seorang Qariah. Ketika mengajar, Ustaz Saifulllah sangat tegas. Murni sentiasa mengantuk ketika berada di kelas kuliah agama. Hari itu, hampir sahaja dia di baling dek duster whiteboard oleh Ustaz. Rakan- rakan Murni hanya mampu menggelengkan kepala melihat tingkah laku Murni. Seringkali ditegur namun begitu juga Murni. Tiada perubahan.
Saban hari Murni mengantuk. Itu belum lagi dikira keadaannya di sekolah. Kerap kali Murni mengantuk ketika pelajaran Inggeris dan Matematik berlangsung namun guru-gurunya sudah penat menegur Murni namun masih juga begitu kelakuan Murni. Sungguh, Murni sangat mengantuk. Rutin harian bermula seawal 5 pagi setiap hari. Mereka diwajibkan ke surau awal untuk menunaikan solat-solat sunat seperti Hajat, Tahajjud dan Taubat. Pernah Murni bertanya kepada Ustaz mengapakah solat-solat tersebut perlu dilakukan setiap hari. Bukankah itu adalah sunat sahaja. Jawab Ustaz bersahaja, kerana hari-hari kita lakukan dosa dan hari-hari kita mempunyai permintaan kepada Allah SWT.
Murni terdiam dan perlahan-lahan dia akui. Benar apa yang Ustaz Saifullah katakan. Walaupun secara logiknya, kanak-kanak berusia 12 tahun tidak melakukan banyak dosa dan sesetengahnya masih belum akil baligh namun memohon keampunan daripada Allah SWT mesti dilakukan setiap hari kerana setiap saat nadi yang berdenyut tidak akan pasti bila ia akan terhenti.
Tahun kedua di asrama, Murni sudah tidak betah untuk tinggal di sana. Disuarakan hal itu kepada ibu, namun ibu berkeras mahukan Murni untuk terus tinggal di situ. Tidak..Murni tidak mahu lagi tinggal di situ. Alangkah sedihnya hati Murni, ibunya menolak mentah- mentah permintaannya. Bukan ibu tidak kasihankan Murni, namun pada ibu, dia senang melihat anak gadisnya telah banyak berubah, menjadi lebih baik daripada sebelumnya. Senangnya hati ibu melihat anak gadisnya berpakaian menutup aurat. Begitu tekun dan tawaduk mengerjakan ibadah wajib dan sunat. Sedikit sebanyak ibu juga merasa malu dengan dirinya sendiri. Anakku menutupi seluruh auratnya namun aku tidak begitu. Sejak itu, ibu mula berhijrah dan mengenakan tudung labuh. Alhamdulillah, Murni mengucapkan syukur di atas hidayah yang ibu perolehi.
Setiap kali Murni pulang ke kampung, dia pasti akan menjadi imam solat untuk adiknya. Jika Murni meninggalkan asrama itu, ibu khuatir Murni akan kembali seperti dulu. Ibu sangat risau jika Murni tidak mahu lagi mengimami solat, meninggalkan solat-solat sunat, dan tidak mahu membaca Al Quran. Atas sebab itulah ibu mahu Murni tinggal di asrama itu sehingga usianya 15 tahun, iaitu umur maksimum untuk seseorang anak yatim untuk layak tinggal di situ. Apabila mencecah umur 16 tahun, seseorang itu bukan lagi digelar anak yatim. Itu apa yang ibu fahami. Mungkin atas sebab itulah, umur maksimum untuk Murni dan rakan-rakan tinggal di situ hanya sehingga 15 tahun.
*****
Hari itu, Murni tekad untuk lari dari asrama iaitu pada hari
sepatutnya Murni ke sekolah. Langkahnya laju berlari menuju ke stesen
bas. Berbekalkan wang pemberian ibunya ketika datang melawat bulan
sebelumnya, Murni membeli tiket bas untuk pulang ke daerah
kelahirannya. Mujurlah Murni sudah mahir dan tahu bas mana yang perlu
dia naiki untuk tiba di rumah.Sebelum tiba di rumah, Murni terlebih dahulu menelefon kakaknya. Pada kakaknya, Murni ceritakan apa yang berlaku. Alangkah terkejutnya kakak Murni mendengarkan hal itu. Murni sudah tidak peduli lagi walaupun kakaknya mengancam bahawa pasti ibu akan marahkan Murni. Dia tahu, ibu pasti akan memarahinya. Biarlah..yang pasti, dia tidak mahu tinggal di asrama itu lagi. Hatinya sudah banyak kali terasa dengan tingkah laku kawan-kawannya. Mereka tidak memahami perasaan Murni. Murni sedih..tambahan lagi, dia baru sahaja melangkah masuk ke tingkatan satu.
Sekolah menengah baru Murni terdiri daripada rakan pelbagai bangsa. Murni tidak menyukai sekolah itu. Dia juga benci kepada rakan-rakan barunya. Baginya, mereka budak bandar yang sangat berbeza pendapat daripadanya, seorang anak desa. Murni mahu meninggalkan semua. Hati Murni rindu pada suasana desa, pada rakan-rakan di kampungnya. Terbayang-bayang wajah sahabat baiknya, Faty dan Fiz. Pasti mereka gembira jika Murni berpindah ke sekolah yang sama dengan mereka.
Seperti yang Murni jangkakan. Setibanya di rumah, ibu memarahi Murni. Murni terdiam dan hanya mampu meneleku ke lantai. Ohh..ibu tidak senang dengan kepulanganku, bisik hati Murni. Murni hanya anak gadis mentah yang tidak memahami hati seorang ibu. Sudah tentu ibu bimbangkan Murni. Namun ibu tidak mahu memeluk dan mendakap Murni. Risau sekiranya Murni menganggap tindakannya untuk lari daripada asrama adalah betul. Rawan hati ibu melihat perlakuan anak gadisnya. Sangkanya, Murni tidak akan berani melakukan perkara sebegitu. Ibu tidak mahu berterusan memaksa Murni. Biarlah Murni bersekolah di sini. Ibu tidak mahu Murni mengulangi perkara yang sama andainya Murni dipaksa kembali ke asrama.
Semenjak dari itu, ibu tidak banyak bercakap dengan Murni. Sedih hati Murni bukan kepalang lagi. Saban hari dia menangis namun usahkan memujuk, bertanyakan Murni juga tidak dilakukan ibu. Berat benar salah Murni sehinggakan ibu tidak mahu memperdulikannya. Memang..itu salah Murni. Namun ibu..tidakkah engkau mahu bertanya mengapakah aku melakukan itu.
Murni dimasukkan ke sekolah menengah harian biasa. Pada mulanya Murni berhasrat untuk memasuki sekolah menengah agama namun dek kerana masalah pengangkutan ke sana, Murni terpaksa memadamkan hasrat hatinya. Di sana, tiada lagi kongkongan daripada Ustaz Saifullah. Tiada siapa untuk memarahi Murni jika dia memakai tudung dan baju- t berlengan pendek. Sungguh, Murni berasa sangat aman. Kerisauan ibu menjadi nyata. Murni tidak lagi seperti dahulu. Dia mula berubah. Solat-solat sunat ditinggalkan sama sekali. Al Quran hanya sesekali dibaca. Dia juga tidak mahu lagi menjadi imam solat untuk adiknya. Hadis dan doa -doa yang dihafalnya semakin pudar dari ingatan. Namun ibu tetap memaksa Murni untuk pergi mempelajari Al Quran dan tajwid dengan guru Al Quran di kampungnya. Sebagai motivasi kepada Murni, ibu turut mempelajari tajwid bersama-sama Murni. Ibu tidak mahu Murni leka. Kerap kali dipaksa membuatkan Murni rimas. Akhirnya, dituruti jua kata-kata ibunya.
Murni kini tidak lagi memakai pakaian yang menutup aurat. Tudung yang dipakai diselempang menampakkan dada. Baju dan seluar juga ketat. Solat pula ditunaikan di akhir-akhir waktu. Teman lelaki bersilih ganti..kata-kata ibu pula semakin selesa dibangkang. Hidupnya seperti di dalam kegelapan. Hari- hari dilalui berkiblatkan maksiat, jauh dari redha Allah SWT.
Duhai anak..jangan begini..mengapakah ketara benar perubahanmu..saban waktu ibu berdoa
" Ya Allah, kembalikan kepadaku anakku yang solehah"
Saban hari, bulan dan tahun Murni lalui. Kini, Murni telah berjaya memasuki sebuah institusi pengajian tinggi awam. Ibunya bangga dengan kejayaan Murni. Sama bangganya perasaan ibu apabila Murni menunjukkan keputusan peperiksaan SPMnya kepada ibu. Murni, seorang anak yang pintar. Keputusan peperiksaan yang cemerlang melayakkan Murni untuk ke universiti itu.
*****
Sepuluh tahun telah berlalu semenjak Murni meninggalkan asrama itu.
Sepanjang tempoh itu jua, Murni berada di dalam dunia rekaannya. Kurang
memperdulikan ajaran agama. Baginya, segalanya masih seperti biasa.
Solat tetap ditunaikan, puasa juga dilakukan. Tiada lagi yang kurang.
Sementelah aku masih muda. Ahh..lambat lagi akan mati. Ilmu agama tidak
diperbaharui dan dipelajari lagi. Ini aku tahu, itu juga aku tahu.
Untuk apa aku pelajari lagi ujar Murni dengan sombongnya.Murni tidak menyedari bahawa jika seluruh lautan dijadikan dakwat untuk menulis ilmu Allah, tidak akan cukup dan jika Allah datangkan tambahan sebanyak itu juga, ilmu Allah tidak akan pernah habis ditulis. Atas sebab itulah, Rasulullah SAW bersabda " tuntutlah ilmu hingga ke liang lahat". Ustaz Saifullah juga pernah berpesan kepada Murni, belajarlah sehingga menemui kebodohan. Namun Murni tidak mengambil kisah akan itu. Rancangan agama tidak dirasakan perlu untuk ditontoni. Lagu- lagu pop dan balada dijadikan halwa telinga sepanjang masa, jauh sekali untuk mendengarkan zikir, selawat dan nasyid.
Namun saban hari waktu berlalu, ada perasaan insaf bertamu di hati Murni.. Entah mana datangnya dan sejak bila ia bermula, Murni kurang pasti. Seringkali, ketika dirinya lalai dan leka melakukan dosa..tidak semena-mena kilat memancar terang,guruh berdentuman kuat.
"Ah..kebetulan sahaja..hari mahu hujan barangkali", getus hati kecil Murni.
Kali ini dentuman guruh benar-benar kuat. Kilat memancar seakan-akan mahu menyambar dirinya. Tika itu, hati Murni berdetik. Alangkah malangnya diriku andai aku mati ketika ini. Kiranya Ustaz Saifullah di sini.. pasti dia akan turut malu kerana begini kelakuan anak didiknya kerana membiarkan diri leka dengan maksiat seolah-olah tidak pernah menerima didikan agama. Pasti dialah yang perlu menjawab ke hadrat Allah Azza wa Jalla kerana gagal membentuk Murni menjadi seorang yang solehah.
"Apa akan jadi dengan ibuku,keluargaku. Apa akan aku jawab pada Allah Azza wa Jalla di Padang Masyar kelak. Alangkah malunya.. daging-daging mukaku akan jatuh berguguran kerana terlalu malu. Apa akan aku katakan pada Rasulullah SAW. Pasti baginda akan bertanya, tidakkah sampai ajaranku kepadamu Murni? Di mana akan ku letakkan wajahku. Pasti..neraka menunggu-nungguku..para malaikat tidak akan sabar memukul cemeti ke badanku dan merejamku di dalam neraka." Gumam hati kecilnya
"Alangkah ngerinya Ya Allah. Astagfirullah hal azim..Astaghfirullah hal azim..Ya Allah, ku zalimi diriku sendiri. Sebak bukan kepalang hati Murni. Ya Allah, inikah petunjukMu?"
Murni membulatkan tekad. Baju-baju singkat dilipat kemas. Dia perlu membeli pakaian baru yang menutup auratnya. Murni tidak kisah andai wang pinjaman pelajarannya terpaksa dibelanjakan untuk membeli pakaian yang menutup aurat. Tudung-tudung juga diganti baru. Yang jarang dan pendek disimpan rapi. Dia tekad..dia tidak mahu lagi mengenakan pakaian yang tidak menutup aurat. Beg pakaian itu dizip kemas. Tidak akan mungkin dipakai lagi ketika berpergian.
Perubahan yang bakal dilakukan tidak dikhabarkan kepada ibu dan rakan-rakan. Murni bimbang jika perasaan riyak merajai hati. Setiap kedai pakaian Muslimah yang dikunjunginya menjual pakaian dan hijab pada harga yang mahal. Murni mengetap bibir dan marah sendiri. Bagaimana aku mahu menutup aurat kalau semahal ini harga yang perlu ku bayar?
Astaghfirullah hal azim..Murni cepat- cepat beristighfar. Risau hati tidak ikhlas.
Sekali lagi Murni bulatkan tekad. Sebenar-benar tekad! Tidak mengapa jika dia perlu membayar harga yang mahal. Ini semua kerana Mu Ya Allah.
"Aku ikhlas untuk menutup auratku keranaMu. Tidak seberapa harga yang perlu ku bayar jika dibandingkan dengan harga seksaan yang perlu ku bayar di neraka kelak." Bisik hati kecilnya.
Murni kembali ke kedai itu. Murni melangkah masuk dan membelek-belek kembali hijab yang telah dilihatnya tadi.
"Tidak mengapa jika aku harus membayar mahal, semua keranaMu Ya Allah. Aku ikhlas.. " Murni menetapkan hati.
Harga tidak akan menjadi masalah untuknya. Sememangnya lumrah, pakaian yang menutup aurat lebih mahal jika dibandingkan dengan pakaian yang tidak menutup aurat. Senjata musuh Allah untuk melemahkan umat Islam barangkali.
"Kak, berapa harga tudung ni?" soal Murni.
Padahal Murni telah bertanyakan sebelum ini. Harganya RM45 tetap, tidak boleh ditawar-tawarkan lagi. Kecewa sungguh Murni.
" Tudung tu ke adik, oh.. RM20 je..", balas kakak salegirl selamba.
"Subhanallah..Allah hu Akbar.. Terima kasih Ya Allah kerana memudahkan urusanku." Hampir menitis air mata Murni. Ada riak gembira terpamer diwajahnya. Murni menguntum senyum.
Benarlah, jika kita berbuat sesuatu Lillahi Taala maka segalanya menjadi mudah. Harga tudung menjadi murah adalah satu contoh yang sangat kecil dan mudah.
*****
Kini,urusan pakaian yang menutup aurat bukan masalah lagi baginya
walaupun sebelum ini Murni khuatir wang pinjaman pelajaran akan banyak
dibelanjakan untuk pakaian baru. Sebaliknya terjadi, Murni tidak pernah
merasa kekurangan wang. Murni sangat bersyukur. Benar, rezeki adalah
urusan Allah SWT. Sebelum ini, Murni hanya mendengar tanpa memahami.
Sekarang, Murni mengerti.Murni tersenyum bahagia.. Ustaz Saifullah, terima kasih. Ilmu yang diajarkanmu membawa cahaya kepadaku. Walaupun telah kehilangan jalanku selama sepuluh tahun namun rencana Allah dan berkat ilmumu..aku kembali menemui fitrahku. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atasmu.
Ibu, insan yang cukup khuatir sekali akan perubahan Murni semenjak meninggalkan asrama itu seringkali mengingatkannya " Tutup auratmu nak". Sekarang ibu, kau mampu untuk tersenyum kerana Murni sepuluh tahun lalu telah kembali. Insyallah, doakan Murni ibu. Kali ini istiqamahku sehingga Malaikat Izrail menjemput nyawaku.
I was so far from you
Yet to me you were always so close
I wandered lost in the dark
I closed my eyes toward the signs
You put in my way
I walked everyday
Further and further away from you
Ooooo Allah, you brought me home
I thank You with every breath I take.
Alhamdulillah, Alhamdulillah
Murni tersenyum mendengarkan lagu kegemarannya "Thank You Allah". Sedikit sebanyak Murni akui, gelombang nasyid si penyanyi turut membawa kesedaran kepadanya.
"Ya Allah, terima kasih di atas rahmat dan belas kasihMu kepadaku. Ku pohon kepadaMu semoga hidayah ini berkekalan denganku sehingga nafasku yang terakhir. Hidupku dan matiku untukMu Ya Rabb."
Tidak ada komentar:
Posting Komentar