Abdullah Umar memandang jam di dinding biliknya. Ahh ...sudah jam
3.45 petang. Terkocoh-kocoh dia bangun menuju ke bilik air lalu
mengambil wudhu' untuk solat Zuhur. Leka benar dia dengan permainan Counter Strike
di komputer. Sudah menjadi kebiasaan Abdullah bersolat pada akhir
waktu. Padanya, tiada salahnya melewatkan solat. Solatnya masih sah
sementelah ia masih dalam had waktu yang dibenarkan untuk menunaikan
solat.
Abdullah tahu bahawa lebih afdal untuk menunaikan solat pada awal
waktu namun dia kurang mengambil perhatian akan itu. Dia juga tahu
bahawa solat adalah amalan manusia yang pertama akan dihisab oleh Allah
SWT di Padang Mahsyar kelak namun Abdullah tetap begitu. Dia tetap liat
untuk solat.
Dalam solat, kerap benar fikiran Abdullah menerawang hinggakan dia
terlupa sudah berapa rakaat telah disempurnakannya. Abdullah asyik
memikirkan permainan komputer yang dimainkannya sebentar tadi. Solatnya
tidak khusyuk. Kerap kali begitu. Sukarnya untuk mendapatkan khusyuk di
dalam solat! Ahh ...solat atau tidak sama sahaja. Tiada kesan pada
Abdullah.
Abdullah berdoa ringkas. Doa dipanjatkan untuk ibu bapa dan dirinya.
Tidak pula dia mendoakan saudara seIslam yang lain. Abdullah sangat
mengetahui akan penderitaan dan penindasan yang berlaku kepada umat
Islam di Syria, Palestin dan Myanmar serta umat Islam yang lain namun
Abdullah tidak mendoakan keselamatan dan keamanan untuk mereka.
Sebaliknya, Abdullah berasa beruntung sendiri kerana berada di negara
yang aman.
Sekiranya Abdullah berada di tempat mereka, pastilah Abdullah
mendambakan doa-doa daripada saudara seagama yang prihatin. Paling
tidak, Allah mendengar doa dan insya-Allah, Allah akan makbulkan
doanya. Maka, berkuranganlah perit derita yang mereka lalui. Umat Islam
diibaratkan sebagai satu anggota badan. Apabila peha kanan dicubit,
peha kiri turut terasa. Derita mereka sepatutnya menjadi derita
Abdullah juga.
Abdullah juga seperti remaja lain yang mempunyai rasa ingin dicintai
wanita. Sudah lama Abdullah berpasangan dengan Zila. Perkenalan yang
membahagiakan itu terjadi ketika Abdullah dan Zila berada dalam
semester dua peringkat pengajian diploma. Setiap hari mereka
menghabiskan masa berjam lamanya untuk berbual sama ada melalui pesanan
ringkas ataupun panggilan telefon.
Walaupun mereka sering bertemu, rindu antara mereka tidak pernah
surut. Kerap kali mereka keluar berdua untuk makan bersama, menonton
wayang dan membeli-belah. Dalam pelajaran pula, mereka berdua merupakan
pelajar cemerlang di kolej mereka. Kebiasaannya pada setiap semester,
CGPA mereka pasti di atas 3.50. Ramai rakan-rakan yang mencemburui
kepintaran mereka, namun itulah rezeki yang dijanjikan oleh Allah SWT
kepada mereka. Sifat Ar-Rahman dan Ar-Rahim Allah SWT yang sentiasa
memberikan rezeki kepada hamba-hambaNya yang gigih berusaha tanpa
mengira tahap keimanan seseorang itu kepadaNya.
Walaupun begitu, jauh di sudut hati Abdullah ada terselit satu
perasaan tidak tenteram. Solat dan Al-Quran tidak berjaya menegahnya
daripada melakukan maksiat. Kadang-kala Abdullah mempersoalkan, jika
solat menegah manusia daripada melakukan kemungkaran namun mengapa dia
masih melakukan dosa dan maksiat. Di mana silapnya? Abdullah juga
sering berzikir dan beristighfar namun Abdullah tidak menemui
ketenangan daripadanya.
Abdullah cuba mencari makna di sebalik firman Allah SWT iaitu dengan
mengingati Allah jiwa akan menjadi tenang namun mengapa Abdullah masih
jauh daripada ketenangan? Dek kerana mencari ketenangan, Abdullah
mengunjungi pusat karaoke, pusat snuker dan pernah sekali Abdullah ke
kelab malam. Kunjungan Abdullah ke sana menimbulkan amarah bapanya.
Bukan sahaja gagal menemui ketenangan yang dicari malah dirotan pula.
Bapanya tidak dapat menerima kenyataan bahawa anak sulungnya itu yang
sepatutnya menjadi contoh dan pelindung kepada adik-adiknya mengunjungi
kelab malam!
Satu hari ketika Abdullah di kedai buku, Abdullah terdengar sebuah
lagu merdu yang didendangkan di radio. Abdullah segera mendekati corong
suara untuk mendengar dengan lebih jelas lagi.
"Jalan pulang bukannya mudah, Musuh nafsu ajak menyerah,
Mohon taufik mohon hidayah, Agar selamat dari fitnah"
Bait-bait lagu tersebut menyentuh hati Abdullah. Rasa sayu menggayut
hati. Entah apa istimewanya lagu itu namun ia hampir-hampir mengalirkan
air mata Abdullah. Pulang ke rumah, Abdullah bermuhasabah diri. Dia
merasakan hidupnya selama ini banyak diluangkan untuk perkara sia-sia.
Dia sepatutnya menjadi khalifah Allah yang meneruskan perjuangan
Rasulullah SAW namun banyak hal berkaitan Islam yang Abdullah abaikan.
Jauh benar beza dirinya dengan pemuda pada zaman Rasulullah SAW.
Pemuda seperti Saidina Ali RA sanggup menawarkan nyawa sebagai galang
ganti kepada nyawa Rasulullah SAW yang ingin dibunuh oleh Musyrikin
Mekah. Betapa teguhnya iman Saidina Ali RA!
Mengenangkan betapa lemahnya iman, air mata Abdullah mengalir tanpa
tertahan lagi. Segera, sejadah dicapai dan solat sunat taubat
dilakukan. Lama Abdullah bersujud sambil diiringi air mata yang deras
mengalir. Pada Allah ampunan diharapkan. Dalam doanya, "Saksikanlah Ya
Allah, hari ini Abdullah Umar datang menyerah diri dan mengakui segala
dosa. Ya Allah, ampunkan aku. Sungguh, aku sangat menzalimi diriku
sendiri."
Abdullah memutuskan untuk bertemu Ustaz Hanafi, guru agama di
sekolahnya dulu. Abdullah tahu, Ustaz Hanafi pasti bersedia
membantunya. Apabila disoal tentang hidayah yang datang melalui lagu,
kata Ustaz Hanafi, "Jika lagu tersebut mengajak kepada keesaan Allah
dan mendatangkan keinsafan kepada kita, maka itulah hidayah daripada
Allah. Abdullah, bersyukurlah Allah mengurniakanmu hidayah. Hargailah
...takut-takut ini hidayah yang terakhir."
Abdullah pulang dengan hati penuh penyesalan. Abdullah bertekad
untuk memelihara hidayah yang diperolehinya. Ibu dan bapa Abdullah
sangat menyenangi perubahan Abdullah. Dinamakan Abdullah Umar sempena
Khalifah Umar bin Abdul Aziz yang soleh. Sudah tentu ibu bapanya
mendambakan zuriat mereka itu juga soleh.
Kini Abdullah fahami, kebaikan dan dosa tidak boleh dicampurkan.
Berpasangan dan melakukan perkara yang sia-sia yang lain menambahkan
lalai di hati Abdullah. Ia membuatkan Abdullah semakin jauh daripada
cinta Allah. Abdullah juga tidak merasakan kemanisan beribadah kepada
Allah. Dia belajar untuk bersyukur dan menghayati setiap bait zikir
yang dilafazkannya.
Abdullah berazam untuk meninggalkan jalan-jalan maksiat. Hubungannya
dengan Zila banyak menambahkan saham dosa Abdullah. Mengingati,
merindui dan memandang Zila sering membawa kepada zina fikiran dan
hati. Abdullah khuatir hatinya bertambah gelap dengan dosa. Oleh itu,
Abdullah terpaksa bertegas dengan kemahuan nafsunya. Cukup sukar untuk
Abdullah melakukannya namun Abdullah ikhlaskan hati. Semuanya demi
mengejar cinta yang agung. Matlamat Abdullah semakin jelas kini. Hanya
redha Allah yang akan dicari. Abdullah mengharapkan penghijrahan kali
ini hingga ke hujung nyawa. Semoga Allah SWT meredhai usaha Abdullah
dalam mencari jalan kembali.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar