Dahulu saya pernah menjadi sukarelawan di sebuah rumah anak yatim.
Menyapu sampah, mengagihkan makanan pada mereka, membacakan buku
cerita, semua itu adalah kerja saya. Tetapi mendengar luahan hati
anak-anak yatim bukanlah kerja saya, kerana saya tahu saya pasti akan
menitiskan air mata. Dan saya masih ingat hari itu, hari di mana buat
pertama kalinya saya membuat kerja yang bukan kerja saya.
"Semalam saya bermimpi. Dalam mimpi itu saya seolah-olah berada di
kayangan yang serba indah. Tanahnya subur ditumbuhi rumput segar yang
menghijau. Langitnya pula biru seperti biru laut. Ada kepul-kepul awan
yang memutih seperti gula-gula kapas. Mataharinya menyinar terang
tetapi tidak mengeluarkan hangat seperti biasa. Dan saya ketika itu
tidak berada di tanah tetapi saya berada di udara; terbang bersama
sekawan burung yang amat cantik. Pada waktu itulah baru saya tersedar
bahawa saya mempunyai kepak yang cantik seperti burung nuri. Jauh di
kaki langit, saya melihat ada sang pelangi yang warnanya seakan-akan
sama seperti kepak saya. Dan saya menuju ke situ."
Teliti saya mendengar cerita seorang kanak-kanak di hadapan saya
ini. Kanak-kanak kecil ini bernama Dila. Dia berumur 10 tahun dan
menjadi anak yatim kira-kira lima tahun lepas. Kedua belah matanya
tidak dapat melihat dan satu benda yang saya ingin ingatkan, jangan
tanya saya mengapa; saya tidak tahu.
Seketika saya melihat air matanya bergenang.
"Eh mengapa menangis?" saya bertanya. Riak wajah saya berubah.
"Saya sedih mengapa saya masih tidak sampai ke kaki langit walaupun
saya rasakan sudah terlalu lama saya terbang menuju ke sana. Saya takut
pelangi itu hilang sebelum saya tiba di sana. Dan saya sangat ingin
menyentuh pelangi itu. Rasa sedih begitu berat hingga saya terjelepok
ke tanah. Hamparan rumput yang menghijau tidak mampu mengubat kesedihan
saya. Saya terduduk. Saya rasakan saya tidak mampu lagi untuk terbang
menuju ke pelangi."
Air matanya kini tidak dapat dibendung lagi. Laju air matanya
berjejeran ke pipi seiring dengan esak tangisnya yang semakin kuat.
Serentak dengan itu hati saya diserbu rasa sayu yang amat. Saya tidak
tahu apa yang harus saya buat.
"Tidak lama selepas itu, saya rasakan ada seseorang mengusap kepala
saya. Saya mengangkat muka dan saya melihat ada dua susuk tubuh yang
pernah saya ketemu dahulu cuma saya tidak ingat di mana. Seorang lelaki
dan seorang perempuan. Lelaki itu mengusap kepala saya dengan penuh
kasih sayang sementara perempuan itu menguis air mata saya. Perempuan
itu menghalakan jari telunjuknya ke arah sekawan burung berwarna-warni
di langit. Kata perempuan itu burung-burung di langit sedang menunggu
saya, bersedia menemani saya ke kaki langit bertemu sang pelangi. Hati
saya girang mendengar kata-katanya. Mereka memeluk saya sebelum saya
berangkat. Kata mereka saya akan berjumpa mereka lagi di tempat yang
jauh lebih indah dari tempat ini. Saya kemudian berangkat dan terbang
bersama sekawan burung menuju ke kaki langit. Semakin jauh saya
terbang, semakin kecil pula tubuh mereka dan akhirnya lenyap daripada
pandangan."
Air matanya masih lagi berjejeran di pipi. Bagai ada sesuatu di
dalam mimpinya yang membuatkan dia terus menangis. Saya terpempan
melihatnya. Lalu tubuh kecil itu saya peluk erat-erat. Biarlah saya
berkongsi kesedihannya. Dan dia juga memeluk saya.
"Lalu, apakah Dila bertemu pelangi dan menyentuhnya?" saya bertanya. Masih tidak melepaskan pelukan.
"Saya tidak tahu." Serentak dengan itu dia melepaskan pelukannya dan
terus menangis. Esakannya semakin kuat kedengaran. Mungkin inilah
kemuncak ceritanya.
"Saya tidak tahu apa yang berlaku selepas itu kerana saya tersedar
daripada tidur. Saya memalingkan wajah saya ke kanan dan kiri,
mencari-cari burung-burung cantik yang menemani saya tetapi yang ada
hanyalah kegelapan. Tiada lagi burung-burung yang cantik, tiada lagi
rumput yang menghijau, semua sudah hilang."
Dia menekupkan kedua tangannya ke muka. Esak tangisnya begitu
mengharukan. Tanpa saya sedar, saya juga menitiskan air mata. Saya
hanya diam membisu, tidak tahu apa yang harus diperkatakan lagi.
Hari terakhir saya di rumah anak yatim itu, saya sempat bertamu ke
pejabat urusan untuk berjumpa dengan kakitangan rumah anak yatim itu
sebelum saya berangkat pulang. Selama hampir dua bulan saya menabur
bakti di rumah itu, kini masanya untuk saya pulang ke kolej.
"Dahulu Dila boleh melihat. Selepas berlakunya kemalangan teruk
kalau tak silap saya di Cameron Highlands dalam lima tahun lepas, mata
Dila rosak teruk sehingga doktor yang merawat mengatakan matanya memang
dah tidak boleh diselamatkan. Ayah dan ibunya meninggal dunia di tempat
kejadian. Dila dibawa ke sini oleh salah seorang kakitangan rumah anak
yatim ini yang juga saudara jauhnya. Saudara terdekat Dila semuanya
tidak mampu menjaga Dila mungkin kerana faktor kewangan."
Kata-kata pengarah rumah anak yatim itu seperti halilintar yang menyambar. Mata saya mula berkaca.
"Jadi bagaimana pula dengan kisah pelangi yang diceritakan oleh Dila?" saya bertanya.
"Siapa tahu? Mungkin Dila terlampau rindukan orang tuanya hingga
mendorong Dila memanifestasikan rasa rindunya itu ke dalam sebuah
cerita. Mungkin juga kisahnya itu mempunyai kaitan dengan kejadian yang
menimpa diri dan keluarganya."
Saya meraup tangan ke muka. Aduhai alangkah beratnya ujianmu Dila.
Air mata saya tidak dapat dibendung lagi. Saat itu juga air mata saya
tumpah ruah.
Hari itu. Ya, hari terakhir itu meleraikan segalanya. Tragedi yang
menimpa Dila dan kisah pelanginya cukup menginsafkan. Sebenarnya dalam
hidup kita, kita menyangka kita sudah ditimpa ujian yang sangat berat
hingga akhirnya kita terduduk di tanah. Walhal jika kita membuka mata
dan meneroka kehidupan orang lain, siapa sangka masih ada insan yang
jauh tidak bernasib baik daripada kita.
Dila misalnya. Sebagai kanak-kanak, dia tidak mampu untuk meluahkan
segala-galanya dengan bahasa yang lurus. Sebaliknya dia menjadikan
sebuah kisah pelangi yang diadun dengan imaginasi untuk dijadikan
sebuah manifestasi rasa rindunya pada orang tuanya. Dan sekali kita
dapat meleraikan kisahnya, pasti akan membuatkan kita terpana dan
terduduk insaf.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar